Saturday, June 16, 2012

Kalaulah saya dapat peluk awak di atas bot ini, sambil melihat mentari menari-nari, di ufuk - senja sedang menanti.

1.
Minggu ini saya menerima dua lagi tawaran mengajar di institusi pengajian tinggi. Saya rasa minat saya untuk mengajar di universiti tidak seghairah dulu. Saya lebih senang mengajar anak-anak di rumah. Saya rasa saya tak mampu memberi komitmen yang di perlukan. Menjadi pensyarah tidak semudah yang di sangkakan. 

Tahun lepas saya mengajar pelajar SPM (secara kebetulan). Mereka mendapat keputusan yang memuaskan dan di luar jangkaan. Saya tidak mahu mengambil apa-apa kredit atas usaha orang lain. Tentunya usaha tanpa putus asa yang membuatkan mereka berjaya. Saya sekadar membantu. Tahun ini ada juga yang bertanya jika saya ingin mengajar lagi. Buat masa ini tidak.

Ada beberapa kali saya membawa Umar dan Huda ke taman dan mengajar mereka di sana. Kelas di luar rumah untuk tujuan ‘kerja lapangan’. Ada ibu bapa yang ingin mendaftar anak mereka. Mereka tersalah anggap – saya bukan cikgu tadika. Saya tak mahu anak-anak saya hanya belajar teori tanpa praktikal. Kedua-duanya sama penting. Setakat ini Umar sudah ada 3 buah ‘buku’ (lebih mirip buku skrap)  hasil kerja lapangannya.

2.
Saya ada beritahu si jantung hati bahawa saya ingin belajar lagi. Proses pembelajaran adalah proses sepanjang zaman. Ada beberapa bidang yang saya minat tapi tak berkesempatan mengikutinya semasa di kampus dulu. Antara bidang yang masih dalam perkiraan saya ialah Antropologi, Arkeologi, Astronomi dan Teologi. Saya tak pasti jika ada universiti di Malaysia menawarkan jurusan Teologi. Universiti di Malaysia banyak menawarkan jurusan yang pelik-pelik.

Sains Sosial, Sejarah, Linguistik dan Kesusasteraan tidak begitu di beri perhatian di Malaysia. Kerajaan banyak memberi insentif untuk memperkembangkan bidang sains. Jurusan Sains Sosial begitu terpinggir  kerana di katakan tiada nilai ekonomi (pekerjaan). Lalu nilai yang lebih penting iaitu ilmu tidak langsung di pandang. Adakah pengajian Perbandingan Agama ada di ajarkan di universiti tempatan? Mungkin hanya ada di UIA. 

Nampaknya universiti kita banyak mengeluarkan mesin berbanding manusia.

3.
Saya dan anak-anak ke Lenggong, Tapak Warisan Pra-Sejarah untuk melawat Gua Gunung Runtuh dan Muzium Arkeologi Lenggong. Di Gua Gunung Runtuh, Manusia Perak di jumpai. Manusia Perak ini seterusnya di letakkan di Muzium Arkeologi Lenggong untuk tatapan umum. Saya melawat tapak ekskavasi di gua tersebut. Umar dan Huda sangat teruja - semestinya kerana mereka perlu mengutip data. 

Lenggong merupakan antara tempat penting di Malaysia kerana di sinilah terdapatnya penemuan penempatan awal zaman pra-sejarah terawal iaitu Kota Tampan. Perkembangan zaman seterusnya bermula di sini. Lenggong juga telah di nobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. 

Saya membawa anak-anak ke sini untuk kerja lapangan mereka. Minggu lepas saya mengajar Umar dan Huda tentang zaman pra-sejarah di Malaysia. Hampir lima jam saya berada di Muzium Arkeologi Lenggong. Bandar Lenggong masih mundur walaupun di sinilah terletaknya tapak warisan dunia. Saya tidak berjumpa walau seorang pelancong di sini. Ada juga saya ringankan mulut bertanya jika tempat ini menjadi antara tempat pelancongan yang penting di Perak – jawabnya tidak.

Inilah masalahnya negara kita. Warisan yang ada kita jarang mahu bangunkan. Kita lebih suka bina bangunan tinggi dari popularkan tapak warisan sebegini. Jika tapak warisan ini di bangunkan, secara tak langsung ekonomi tempatan juga turut berkembang lantas memberikan taraf hidup yang lebih baik kepada warga penduduk di sini.

4.
Saya menginap di Resort Tasik Raban. Ada dua lagi tempat penginapan di sini iaitu Homestay Kampung Beng dan Rumah Rehat Lenggong. Saya menyewa sebuah bot untuk melihat kawasan tasik. Amat mendamaikan. Saya tak mahu berlama-lama di tasik – takut jatuh. Maklumlah saya lumpuh. Mujur ada Don yang banyak membantu. Mulanya saya memang tak mahu menaiki bot tapi setelah di pujuk Huda – akhirnya terpaksa juga mengalah. 

Saya bersama Huda dan Umar juga Don melihat matahari terbenam – cantik. Saat ini saya merindui si jantung hati yang sedang sibuk dengan persiapan akhirnya menjelang final exam. 

Kalaulah saya dapat peluk awak di atas bot ini, sambil melihat mentari menari-nari, di ufuk - senja sedang menanti.


Rindu awak, sangat :)