Thursday, November 13, 2025

Hai Ummi,

Tadi Im pergi kubur. Im tanam pokok yang baru. Nisan sudah di bersihkan. Kubur Ummi nampak cantik. Im rindu Ummi. Balik dari kubur, Im singgah perpustakaan untuk pinjam buku dan seperti kebiasaannya — baca akhbar di sini; Utusan Malaysia tentunya. Isu penting di dada akhbar berkaitan kematian seorang pelajar perempuan bernama Zara Qairina binti Mahathir, pelajar Tingkatan 1 di SMKA Datu Mustapha, Sabah. Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah tetapi kemudiannya pihak keluarga melantik peguam mewakili keluarga mereka.

Atas permintaan pihak peguam, satu bedah siasat telah dimohon. Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan arahan agar kubur arwah digali semula pada 9 Ogos 2025. Bedah siasat di jalankan pada 10 Ogos 2025 bermula jam 11 pagi dan selesai sekitar 8 malam — mengambil masa kira-kira lapan jam. Laporan bedah siasat dijangka siap seawal dua minggu atau selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan. Kes ini turut mendapat liputan media antarabangsa, termasuk South China Morning Post, dan turut mengejutkan masyarakat di Indonesia.

Kes ini sebenarnya tidaklah terlalu rumit untuk diselesaikan, namun penglibatan beberapa pempengaruh telah menyulitkan proses siasatan. Mereka berusaha membentuk persepsi awam dengan mempengaruhi warganet agar mempercayai naratif yang mereka cipta, dan menolak sebarang bukti atau hasil siasatan yang bercanggah dengannya. Fenomena ini sejajar dengan apa yang dihuraikan dalam Moral Panic Theory oleh Stanley Cohen. Akibatnya, pihak berkuasa turut menjadi sasaran pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Antara dakwaan yang tersebar ialah kononnya arwah Zara dimasukkan ke dalam mesin dobi. Tindakan pempengaruh yang menghubungi pemilik akaun yang menyebarkan berita tersebut secara langsung telah menyebabkan akaun dinyahaktif. Ini menyukarkan pihak peguam untuk mendapatkan pautan asal sebagai bukti kukuh. Tangkapan layar atau perkongsian pihak ketiga dianggap lemah dan boleh menjejaskan peluang untuk menang di mahkamah. Jelas bahawa campur tangan pihak luar telah merosakkan peluang menuntut keadilan.

Zara Qairina melaporkan diri di SMKA Datu Mustapha pada 18 Februari 2025 dan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth I. Mayatnya ditemui dalam keadaan tidak berlumuran darah tetapi terdapat kesan luka terbelah pada tapak kaki kiri pada jam 3:00 pagi, 16 Julai 2025 oleh dua orang pelajar yang dalam perjalanan ke bilik dobi. Sebelum kejadian, Zara pernah memberitahu ibunya bahawa dia telah di buli dan di cabul oleh sekumpulan pelajar senior yang dikenali sebagai Circle19 yang terdiri daripada Kak M, Kak Dedeng, Tomboi, dan Kak Wana. 

Pada awal Julai 2025, Zara telah melaporkan ketidakhadiran beberapa senior menunaikan solat, yang dianggap sebagai “mengadu.” Tindakan ini menyebabkan Kak M mengugut Zara. Dalam satu kejadian di kelas, Zara turut campur tangan apabila Tomboi cuba memerangkap kawannya dengan khabar angin palsu kononnya Yasmin menyukai Tomboi. Tindakan Zara mempertahankan Yasmin mencetuskan tindak balas yang lebih agresif. Sejak kejadian itu, Zara di buli tanpa henti. Dia hidup dalam ketakutan dan kebimbangan setiap hari. 

Buli terhadap Zara semakin melarat. Tomboi dikatakan telah menyentuh dan/atau mencium Zara pada waktu malam, termasuk di bahagian pipi dan kemaluannya. Kak M pula memberi amaran, “Kalau aku sentuh kau, kau akan berdarah.” Sama ada ini sekadar metafora atau ugutan sebenar, tidak dapat dipastikan. Di asrama, ponteng prep dan solat merupakan kesalahan besar yang boleh dikenakan hukuman. Tindakan Zara menulis nama senior dianggap sangat berani dan berisiko kerana mencabar budaya senioriti yang berakar di sekolah. 

Ara turut menyatakan hala tuju kes ini hampir menyerupai kes Bella. Dalam kes Bella, pendera sebenar tidak dikenal pasti dan sehingga kini masih bebas. Siti Bainun bukanlah pendera secara langsung, tetapi dihukum atas kecuaian kerana gagal memberikan perhatian dan rawatan sewajarnya kepada Bella. Selain kes adik Bella, kes Zayn Rayyan juga sedang menuju ke arah yang sama. Ini menjadi bukti bahawa pempengaruh yang tidak beretika mampu mencemarkan proses keadilan serta mengheret individu ke kandang pesalah.

Dalam dunia yang haus akan pelaku untuk dipersalahkan, warganet dan orang awam kadangkala bertindak sebagai “hakim tanpa mahkamah,” menjatuhkan hukuman sebelum bicara — vigilantisme digital. Dalam keghairahan memburu sensasi, pempengaruh pula tampil mendahului bukti dengan teori liar, bersandarkan emosi dan bukannya kebenaran. Apabila pempengaruh mendahului bukti dengan teori, negara ini berada di ambang bahaya — undang-undang tunduk kepada jeritan ramai yang jahil, bukan kepada timbangan neraca yang adil.

Ogos, 2025
Ukay Perdana