Aku tak minum smoothie. Aku mula kenal smoothie bila aku berkawan dengan Ara. Ara suka smoothie. Selepas berkahwin, aku belajar buat smootie dengan campuran yang lebih segar dan berkhasiat. Aku asingkan smoothie khas untuk Ara yang manis sedikit dari smoothie yang lain. Aku ingin dia nikmati tanpa ada rasa kekurangan. Setiap kali Ara masak, dia asingkan kuah - untuk aku yang tak pedas. Aku dapat menikmati masakan sepuasnya tanpa mengadu "Sedap, tapi pedas. Abang tak boleh makan." Perut aku sensitif pedas.
Aku pun tak nak dia mengadu "Kalau manis sikit, sedap". Kami masing-masing pandai menjaga diet jadi tak ada apa yang perlu di gusarkan. Setiap kali berkesempatan, aku buatkan smoothie sebagai sarapan. Anak-anak bawa ke sekolah bersama bekal nasi goreng. Ketika Ara masih berkerja, aku siapkan bekal untuk di bawa ke pejabat. Kadang- kadang aku selitkan sehelai nota cinta. Aku rasa gembira buat sesuatu untuk dia. Kata bijak pandai "Love is in the quiet acts that make her feel valued and cared for."
Bila Ara balik kerja, makanan sudah tersedia. Aku suka makanan rebus dan sup panas. Aku tak makan makanan bergoreng. Aku lebih suka makanan yang di panggang atau di bakar (khasnya ikan bakar). Aku sediakan makanan ringkas sahaja untuk Ara. Perempuan tak suka makan malam yang berat. Mereka bimbang berat badan. Ara tak sama seperti aku. Dia tak cerewet. Semua makanan dia makan dan tak kisah mencuba sesuatu yang baru. Ara mempunyai pengetahuan yang baik berkaitan makanan dan pemakanan.
Aku suka urutkan kaki Ara setiap kali dia balik dari kerja. Urutan kaki baik untuk melancarkan peredaran darah, mengurangkan ketegangan dan membuatkan diri lebih tenang. Sambil urut, aku bertanya tentang bicara kes di mahkamah. Dia pula bercerita tentang lawatan ke penjara, keputusan Yany Arif atau isu-isu berkaitan dunia kehakiman. Aku dengar patah bicaranya dengan teliti, cuba beri respons jika perlu. Selesai mengurut, aku siapkan susu panas untuk Ara. Minuman yang baik untuk dapatkan tidur yang berkualiti.
Sampai sekarang aku masih lagi urutkan kaki Ara walau dia sudah tidak berkerja. Sewaktu Ara mengandung, dia selalu lenguh-lenguh badan. Dia tak dapat tidur malam. Alahan sangat teruk, muntah setiap hari. Ara sukar tidur - baring tak kena, mengiring tak kena. Sudahnya, setiap malam dia bersandar pada aku - barulah dapat tidur dengan lena. Kembar pula aktif, suka menendang. Ara jadi tak selesa. Sewaktu Ara mengandung, aku rasa kasihan sangat dengan dia - mudah keletihan, pening, mual, muntah - semuanya ada.
Oct 5, 2024