Hai Ummi,
Nampaknya Zara lancarkan perang sebab dia marahkan Im. Dari New York City, Im ke Niagara Falls, New York. Sub-bandar, banyak pokok dan ada restoran Bangladesh yang menjadi tumpuan orang Islam mencari makanan halal. Niagara Falls ke rumah Ocio tak jauh. Lebih kurang 2 jam 30 minit. Habis kerja Im bawa anak ke sana. Im tak menginap di rumah Ocio.
Im jumpa Hana tapi tak berbual panjang. Zara rekod video dan hantar pada Ara. Ara call. Tentulah jadi punca percakaran. Dia asyik ulang "Abang nak latte?". Im tahu kerja Zara tapi Im tak cakap apa pun. Malas nak gaduh. Gaduh dengan Ara belum reda. Panaslah juga hati bila Zara jadi penyampai. Ara memang tak suka Hana. Tak pasti pula sebabnya.
Im bawa Ocio keluar hari Jumaat. Mula-mula pergi gunting rambut. Kemudian pergi solat Jumaat di Masjid Toronto. Masjid ini asalnya gereja. Setelah di beli, di jadikan masjid. Selesai solat Jumaat, Im bergerak ke Rochester. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam 20 minit. Im tak bawa laju sebab ada anak-anak. Santai-santai saja. Bukan nak ke mana.
Masuk saja bandar Rochester, Im cari butik. Im nak belikan Ocio baju. Sedih tengok baju dia - gelebeh dan pudar. Buruk sangat. Masuk butik, Ocio pilih baju. Dia beli t-shirt dua helai dan seluar slack. Baju dia pilih harga $550 sehelai. Seluar Im $120. Biasalah Ocio - dia suka barang berjenama. Pilot, banyak duit. Businessman tak boleh hidup macam pilot.
Im bayar pakaian dia, dia bayar seluar Im. Di kaunter semua kad debit di tolak. Kad kredit sudah limit. Rupanya Ummi, kad bank Ocio hanya ada $10 sahaja. Merah padam muka dia macam nak menangis. Im bayar, kemudian Im ajak dia pergi makan. Ocio makan 2 pinggan nasi, 2 gelas kopi panas. Nescafe tak ada. Ocio suka Nescafe - kaw punya.
Ocio makan bersepah. Air tumpah kena baju. Im lap, bersihkan. Dia minta maaf. Im cakap "Tak ada hal". Masa Im keluar dengan Ocio, kembar dekat hotel dengan Jaz. Susah nak jaga kalau bawa ke kedai makan - tak boleh duduk diam setempat untuk satu tempoh yang lama. Nanti menangis pula. Tak pun lari sana sini. Penat pula nak kejar.
Sampai di hotel anak-anak sudah tidur. Ocio nak mandi, Im tolong bukakan baju. Ummi, hmm Ummi tahu tak…badan dia ada kesan lebam. Ada yang masih baru. Im tanya "Lebam kenapa?" Dia tak jawab. Isteri dia pukul dia ke, Ummi? Lebam kena pukul rasanya. Sedihnya Tuhan sajalah yang tahu. Im pernah dengar isteri dia maki dia "Sabar bodoh".
Im sapu krim. Pakaikan dia baju. Lepas solat dia tidur. Lena dia tidur. Telefon dia bergetar. Isteri dia call. Dia tak jawab. Im suruh letak mode senyap. Bising - susah nak tidur. Malamnya Ara telefon dan kami macam biasa bercakaran. Kali ini tentang hal yang tak ada kaitan. Ocio tidur lena sepanjang malam. Anak-anak pun tak bangun. Lega sangat!
Hari Sabtu tak ke mana pun. Pusing-pusing Buffalo naik kereta. Berhenti beli coklat dan makan. Pergi taman, kembar nak main. Ocio termenung jauh. Im ada niat nak tegur pasal isteri dia tapi tak jadi sebab Ara call dan kami bergaduh. Im tengok dia stres. Tak nak tambah beban. Licin duit bank isteri sapu bersih. Kalau nak ambil pun tinggalkan sikit.
Sampai rumah, Ocio tanya pasal duit dia. Isteri dia cakap semua belanja beli ubat. Tak logik. Duit Ocio banyak. Im tahu sebab Im yang uruskan akaun dia sebelum dia kahwin. Dia pakai barang branded tapi dia tak boros. Ocio ada banyak duit sampingan. Mana pergi semua duit dia? Tak mungkin duit habis dalam masa setahun. Tak masuk dek akal.
16 Ogos 2024