Sengaja mengambil cuti singkat selama 7 hari di saat dunia sedang ranah dimamah Covid-19. Di sana-sini khabar yang kedengaran hanyalah riuh-rendah angka kematian yang belum menampakkan petanda akan surut. Jangkitan di seluruh dunia sudah melebihi 15 juta orang. Lebih malang, kadar pengangguran turut meningkat. Banyak syarikat di jangka muflis kerana ekonomi tidak dapat berfungsi dengan baik.
Cuti selama 7 hari ini adalah hari yang paling baik untuk muhasabah diri. Sedikit sebanyak tidaklah terlalu tergesa-gesa menghabiskan masa dengan anak-anak kerana ingin menyiapkan hal pejabat yang tertangguh di meja kerja. Kiranya, dapatlah duduk dengan tenang sambil mendengar Huda bercerita tentang pasukan Liverpool memenangi piala yang mereka nantikan selama 30 tahun.
Pagi hari menghabiskan masa dengan bersenam lebih kurang 2 jam. Tengah hari pula jamming bersama anak-anak. Mengasah kembali kemahiran bermain alat muzik. Kegemaran jamming ini datang ketika saya bersekolah di asrama penuh. Bila ada kelapangan semasa hujung minggu, biasanya saya dan kawan-kawan seasrama akan ke Zai Am Studio untuk jamming. Lagu kegemaran ketika itu tentulah musik heavy metal.
Malamnya, setelah selesai mengajar anak-anak menyiap kerja sekolah, tonton filem seram pula. Saya bukanlah peminat filem seram tapi anak-anak gemar benar menonton genre ini. Saya ikutkan sahaja apa yang mereka mahukan. Saya lebih gemar filem berunsurkan peperangan, sejarah dan biografi (biopic film) seperti JFK, Tauman, LBJ. Kalau filem sejarah, saya suka filem Hindi seperti Bajirao Mastani dan Viceroy's House.
Perkara yang paling mendebarkan tentulah apabila Hara mengusik saya dengan “four days straight” kerana kami menghabiskan malam dengan bersenang-senang seperti pasangan suami isteri yang lain. Ada ketikanya, setelah selesai, saya bacakan puisi cinta untuknya. Kadang-kadang saya nyanyikan lagu kegemarannya. Di kebanyakan masa, saya bergurau senda dengannya.“Four days straight” adalah rekod terbaik sepanjang perkahwinan kami.