Hara masih merajuk dengan abang? Abang tak ada pilihan. Dalam rundingan perniagaan, semua ini perkara biasa sahaja - tak melibatkan hati dan perasaan. Kalaupun abang bukan seorang lelaki yang baik, belum pernah abang hinggap di sarang larangan. Usai sahaja rundingan, mereka mengajak abang menghadiri dinner. Abang pergi atas tuntutan kerja. Memanglah dalam apa-apa urusan baik politik mahupun perniagaan; perempuan dan arak wajib ada. Semalam abang disajikan dengan tarian gelek padang pasir.
Begitulah dunia ini berputar. Hatta di dunia Islam, tak pernah ada rundingan di buat di masjid. Dunia tak pernah berputar mengikut citarasa kita. Untuk terus bertapak, kita yang harus mengikut rentak dunia. Abang punya prinsip dan abang memegangnya dengan erat. Ada orang kata, prinsip tak akan bawa kita pergi jauh; sekali-sekala kita perlu menggadaikannya. Abang di asuh supaya berpegang pada prinsip dan mempertahankanya walaupun kadang-kadang kerana prinsip kita mengalami kerugian dan di ketepikan.
Lumrah dunia tak akan ada yang setia dengan kita selamanya baik isteri, kawan-kawan, keluarga mahupun saudara. Beruntunglah jika kita punya seseorang yang kekal setia menempuh segala ranjau dunia. Abang punya kawan yang pernah kesempitan wang, bakal di isytihar bankrap jika gagal membayar pinjaman bank. Dia meminta pertolongan dari kawan baiknya kira-kira RM 140,000. Hara tahu berapa yang perlu dibayar setiap bulan kepada kawannya itu? RM 12,000 untuk 9 tahun!
Kawan baiknya mengaut keuntungan. Ketika kita dalam keadaan terdesak, kesempitan, waktu itulah orang di sekeliling kita akan mengambil kesempatan. Kawan abang tak punya pilihan kerana dia telah rugi RM 4.7 juta jadi mahu tak mahu dia terpaksa juga bersetuju untuk mengelakkan diri dari di isytihar muflis. Beginilah dunia ini berputar. Dunia ini dipenuhi manusia kejam yang tak berhati perut. Orang-orang yang rapat dengan kitalah yang selalu berbuat jahat kepada kita. Mereka jugalah yang selalu membuat onar.
Dunia perniagaan adalah sebuah dunia yang kejam penuh dengan hasad dengki dan iri hati. Kita tak boleh mengambil pusing tentang semua perkara. Ada perkara-perkara yang perlu kita kesampingkan. Dalam perniagaan, menjaga hubungan baik dengan semua orang adalah perlu. Kita berniaga, kita mencari kawan bukan lawan. Kita punya beribu kenalan dengan bermacam-macam watak lakonan. Tentu sahaja kita tak boleh layan semuanya. Kita harus bijak menyaring kenalan, kawan, rakan kongsi untuk membina jaringan.
Hara harus tahu arena perniagaan di penuhi dengan manusia yang suka mengambil kesempatan, menikam dari belakang, memijak orang lain untuk maju ke depan, tak jujur dan amanah. Bila-bila masa sahaja kita boleh dipijak hingga mati. Mereka tak punya belas kasihan kerana perniagaan adalah wang sungguhpun kita telah lama mengenali dan menjadi kawan baik mereka. Atas sebab inilah abang tak punya ramai kawan. Abang punya lingkungan kawan yang kecil. Agaknya abang sudah malas melayan kerenah orang.
Jumpa hari Jumaat, sayang!
Sheikh Zayed Mosque, Abu Dhabi, United Arab Emirates
10.01 pagi, 6 Februari 2019