Terima kasih atas kiriman khabar yang datang bertandang saat kita baru sahaja melangkah ke tahun baru. Cepat sungguh masa berlalu. Apa khabar awak di sana? Saya baik-baik sahaja. Pertama sekali, maafkan saya kerana membaca e-mel awak sepintas lalu dan masih belum berniat untuk membacanya berulang kali. Ya, saya masih gementar melihat nama awak di peti masuk e-mel saya. Saya barangkali teramat takut jika hati saya terguris dan berasa di sakiti. Dalam kamus hati, luka terhiris tak pernah kenal erti tepu. Luka di hati tetap akan berdarah sampai bila-bila. Luka tak akan pernah sembuh. Sakitnya kekal hingga ke akhir hayat namun kita tak punya kuasa melawan takdir yang Tuhan telah tetapkan buat kita. Takdir bersifat fitratullah.
Tidak ada kata maaf yang perlu dilafazkan. Tidak ada apa-apa yang perlu dimaafkan. Setiap manusia punya hak dan kebebasan untuk menentukan arah tuju kehidupan masing-masing. Awak tak terkecuali. Awak memilih jalan paling sempurna untuk dilalui sehari-hari dan pasti sahaja awak punya alasan tersendiri. Kita memilih jalan kehidupan tanpa paksaan. Tiada istilah paksaan dalam membuat pilihan. Kita membuat pilihan dengan penuh kesedaran dan timbangan yang waras. Barakallahu laka wa baaraka ‘alaika wa jama’a bainakuma fi khair Tahniah atas ikatan pernikahan yang di bina atas kesedaran cinta dan kasih sayang yang teguh, menempuh onak sepanjang jalan menuju kebahagiaan. Itulah cinta sejati yang di cari-cari. Cinta mati yang kekal abadi.
Perkara yang telah berlaku antara kita dahulu adalah kerana kekhilafan dan kesalahan saya sendiri. Sepenuh kekhilafan dan kesalahan terletak di bahu saya. Sayalah lelaki yang tidak bertanggungjawab, penakut seperti yang selalu awak katakan. Segala kekurangan itu saya terima dengan penuh walang di dada. Maafkan saya kerana tak pernah memberi kebahagiaan dan kegembiraan seperti yang awak harap-harapkan. Saya terlalu mementingkan diri sendiri, terlalu takut dengan bayang-bayang realiti. Kesannya sudah saya terima saat awak memilih lelaki paling agung di dunia sebagai pendamping hingga menutup mata. Saya sangat terkesan dengan perpisahan itu hingga sukar meneruskan kehidupan. Saya mengambil masa yang amat panjang untuk menerimanya.
Sungguhpun begitu, saya tak pernah berdendam dengan awak. Jauh sekali berharap rumah tangga awak di badai gelora. Saya tumpang bahagia mendengar awak bahagia di samping lelaki terbaik yang muncul dalam hidup awak, lelaki yang sempurna segala-galanya. Saya selalu berdoa agar masjid yang awak bina di teguhkan dengan persefahaman, berbumbungkan kepercayaan dan kesetiaan. Saya berdoa agar rumah awak di hiasi dengan gelak-ketawa anak-anak kecil, senyuman yang membahagiakan dan kegembiraan yang berpanjangan. Saya senang melihat awak bahagia. Saya bersyukur Tuhan temukan awak dengan seorang lelaki yang jauh lebih baik dari saya. Nikmatilah hidup ini seadanya. Bersyukurlah kerana Tuhan memberi pelbagai nikmat untuk di syukuri.
-
Maafkan saya kerana lewat membalas kiriman e-mel. Saya baru sahaja pulang dari bercuti dan kini sedang sibuk mengemas rumah. Saya kini berada di Pune, India dan akan menetap di sini buat beberapa ketika. Pune yang diberi jolokan “Oxford of the East” merupakan sebuah bandar yang menakjubkan. Setiap hujung minggu saya berhasrat berlibur di Goa dan Bangalore. Bangalore mempunyai banyak pantai yang bersih dan cantik. Goa, bandar bekas jajahan Portugis tidak kurang hebatnya dengan hiburan dan senibina yang menawan. Begitulah kiranya perancangan saya di sini. Jika berkesempatan saya ingin mengikuti kelas mempelajari bahasa Sanskrit dan mendalami bahasa Urdu. Dalam pada itu juga, saya sedang menyiapkan diri untuk mendaki Everest Base Camp tidak lama lagi.
Bandar ini diharapkan dapat menjadi penawar agar saya mampu melupakan masa silam walaupun saya sedar masa l tidak mudah lupus dari hati dan ingatan. Memasuki tahun ke 5, babak kesakitan ini masih terasa pedih seolah-olah segalanya terjadi semalam. Kata orang luka perpisahan tidak pernah sembuh. Saya terkesan sekali bila membaca ratapan Lucas W mengenai kesakitan cinta, “What are you doing? Are you waiting for someone who has no intention of coming back? Or are you trying to run away from them? Are you learning to relive your life? Or are you recovering from every bruise and cut? Tell me, what are you doing at this very moment?”. Bebanan hati ini memenjarakan hampir segenap hidup saya. Saya seolah-olah terkurung dalam masa lepas.
Tak pernah dalam sehari saya tidak mengingati awak. Perasaan ini amat memilukan. Saya malah tidak pernah tahu mencintai seseorang begitu meresahkan. Hidup saya menjadi semakin tenat dan menyesakkan dada. Saya seperti seorang perenang amatur yang hampir lemas di laut dalam. Benar ungkapan Lucas W, “I am alright without you but I am not happy. I am well without you but I am empty”. Cinta pula tak pernah mengajar saya untuk mengucap selamat tinggal. Kata Lucas W. “Come over and teach me the art of leaving without having to leave parts of myself behind. Come and help me master the ways of letting go without ever dying night after night when every soul is fast asleep. Come over, and teach me the art of saying goodbye.”
Saya selalu memujuk hati dengan membaca Surah al-Baqarah ayat 216 “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu”. Kadang-kadang saya memujuk hati dengan Surah al-Qamar ayat 49 “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)” atau Surah at-Talaq ayat 3 “Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. Sering juga saya baca Surah al-Baqarah ayat 286 “Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar apa yang terdaya olehnya” dan Surah al-Hadid ayat 23 “(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu”.
Perpisahan mengajar saya banyak perkara. Kata pujangga “Rasa sakit tidak selamanya tidak berharga sehingga harus selalu di benci kerana mungkin sahaja rasa sakit itu malah akan mendatangkan kebaikan buat seseorang”. Dalam Surah at-Taubah ayat 51,“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami”. Dalam Shahih Muslim Jilid 4 hadis 2277 telah di titipkan “Dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash r.a katanya dia mendengar Rasulullah bersabda: “Allah Taala telah menetapkan segala ketetapan (takdir) bagi seluruh makhluk lima puluh ribu tahun sebelum diciptakan-Nya langit dan bumi dan (ketika itu) Arasy Allah Taala berada di atas air”. Begitulah saya memujuk hati setiap hari.
Terima kasih atas kiriman khabar dan doa yang tulus. Moga Tuhan melimpahkan rahmat dan kurniaan-Nya buat awak dan suami. Oh ya, ibu dan ayah sihat? Harapnya mereka menikmati penghujung usia dengan kegembiraan dan ketenangan yang berpanjangan. Mempunyai orang tua adalah satu rahmah dalam kehidupan. Huda, Umar, dan Adam sihat. Huda sedang menikmati dunia remaja yang penuh warna-warni, Umar masih sibuk dengan pelbagai kegiatan perniagaan dan Adam seperti biasa sibuk dengan kamera. Anak-anak akan mulakan sesi persekolahan pada 7 Januari ini. Sekolah telah dibuka pada 2 Januari namun atas beberapa sebab teknikal, saya lewat mendaftar sesi P&P mereka.. Sekian sahaja untuk kali ini. Moga kita bertemu lagi.
-
Habis kikis
segala cintaku hilang terbang
pulang kembali aku padamu
seperti dahulu.
Kaulah kandil kemerlap
pelita jendela di malam gelap
melambai pulang perlahan
sabar, setia selalu
Satu kekasihku
aku manusia
rindu rasa
rindu rupa
di mana engkau
rupa tiada
suara sayup
hanya kata merangkai hati
Padamu Jua
Amir Hamzah
Segalanya tinggal kenangan,
Imran
Pune, Maharashtra, India
6 Jan 2019, 3.29 pagi