Salam ke atas kekasihku Nurhara,
Setiap hari abang bangun dengan penuh kebahagiaan. Kebahagiaan abang adalah Hara dan anak-anak serta impian-impian kecil yang sering kita sandarkan bersama. Hari Selasa lepas kita pergi jogging bersama-sama selama 1 jam 45 minit. Semalam pula kita pergi lapangan menembak. Abang mahu Hara mahir menembak. Bila ada kelapangan nanti kita akan pergi berburu bersama-sama. Sudah lama abang tak pergi berburu. Esok pagi jika tiada aral abang akan ajar Hara teknik bermain judo. Tiba musim yang sesuai nanti kita akan pergi berkhemah. Selain itu, abang ingin bawa Hara ke acara motocross.
Hidup kita di Pune bermula dengan agak baik. Bandar ini sederhana besar dengan lalu lintas yang tak begitu sesak seperti New Delhi. Kemudahan pengangkutan awam juga tidaklah sebaik bandar lain di India. Pune, selain menjadi hub pendidikan merupakan pusat teknologi maklumat yang semakin hari semakin berkembang pesat. Pencemaran udara di Pune masih belum berada di paras bahaya dan darurat. Memetik laporan Indeks kualiti udara Delhi yang menyukat jumlah partikel toksik memberikan bacaan purata 420 pada bulan Disember sedikit baik berbanding bacaan 449 hingga 450 pada bulan sebelumnya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 14 buah bandar di India tersenarai sebagai bandar paling tinggi pencemaran udara. Jerebu teruk melanda New Delhi memaksa sekolah di tutup. Pihak pemerintah India tidak mempunyai pelan rangka kerja untuk mengurangkan masalah pencemaran udara yang di sebabkan oleh pelepasan asap industri dan kenderaan. Selain itu, pencemaran juga di kaitkan dengan penggunaan bahan bakar yang tidak mesra alam sekitar. Kesannya, menurut Lancet Planetary Health seramai 1.24 juta orang telah terkorban pada 2017 kerana bernafas dalam udara yang mengandungi racun.
Hara janganlah risau. Jika keadaan tidak mengizinkan, kita akan berpindah ke tempat lain. Udara yang tercemar memberi kesan kepada kesihatan manusia. Tentu sahaja abang tak akan memperjudikan kesihatan Hara dan anak-anak. Jadi tak usahlah Hara bimbang. Abang tahu kita sedang merancang untuk menimbang cahaya mata sulung dan Hara tak mahu hal-hal begini merencat perancangan kita. Setelah selesai seluruh kerja abang di sini, dan jika Allah tak mengizinkan kita menetap lama di India - kita akan merantau lagi atau mungkin balik semula ke Malaysia. Sejujurnya, abang mahu menetap di rantau orang.
Oh ya, kelas bahasa Sanskrit dan Urdu yang abang pelajari berjalan dengan baik. Agak susah juga belajar dua bahasa dalam satu masa. Abang berharap Tuhan terangkan hati abang untuk menuntut ilmu. Bahasa Urdu adalah bahasa pengantar bagi penganut agama Islam di India. Bahasa Sanskrit pula adalah bahasa kuno yang banyak meriwayatkan kisah dewa-dewa penuh kesaktian yang terdapat dalam banyak buku hikayat lama. Mempelajari bahasa tidak pernah merugikan malah ia akan menambah khazanah bangsa. Bagaimana dengan perkembangan projek yang sedang Hara usahakan? Semoga semuanya lancar.
Kepada Allah abang berharap agar Hara selalu dalam perlindungan dan karamah-Nya.
.
You are my
love story, and I
write you into
everything I do,
everything I see,
everything I touch
and everything
I dream, you
are the words
that fill my pages.
A.R.Asher
Suami yang amat mencintaimu,
Abang
Pune, Maharashtra, India
16 Jan 2019, 11.06 malam