Tuesday, September 18, 2018

Degupan yang selalu menggetarkan dada

Cinta adalah satu kuasa yang hebat. Dengannya kita mampu mengoncang dunia. Lelaki yang menemui cinta adalah lelaki yang paling beruntung di sepanjang jalan kehidupan. Tanpa ragu-ragu ingin sekali abang katakan bahawa Hara adalah cinta abang. Abang telah menemui cinta yang telah di takdirkan untuk abang. Cinta yang hadir saat abang hampir lemas dalam arus kehidupan. Hara umpama sebuah harapan yang hadir menghulur tangan mengajak abang memulakan sebuah kehidupan baru. Hara ibarat sinaran mentari yang membawa abang keluar dari lohong hitam. Tak putus-putus abang panjatkan rasa syukur pada Ilahi.

Melalui saat itu sangat mendebarkan jiwa. Hari ini kita adalah pasangan suami isteri yang ingin sehabis daya membina sebuah keluarga yang bahagia. Kita sama-sama belajar meneroka alam, menelurusi setiap detik penuh pengharapan. Kita menjalani sebuah kehidupan dari kaca mata yang berbeza. Atas ikatan pernikahan, kita di beri tanggungjawab baru yang menjadi pelengkap separuh dari bahagian keimanan. Kita melaluinya penuh rasa bahagia. Degupan yang selalu menggetarkan dada, setiap butir bicara, pecahan hilai tawa, lirikan manja lagi mengoda merupakan saat romantis buat diri abang tika bersama Hara.

Kita telah mengembara ke empat buah negara. Di empat buah negara ini kita menyemai benih-benih cinta yang bukan sahaja mengetarkan dada malah menusuk sukma. Kata orang, ini adalah syurga dunia. Abang tak sabar ingin pulang ke rumah dan memulakan rutin harian seperti pasangan suami isteri yang lain. Kita akan memikul tanggungjawab membesar, mendidik dan memberi kasih sayang pada anak-anak. Hara bukan sahaja bergelar isteri malah dalam detik yang singkat bergelar ibu. Abang berharap kita dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. 

Abang bawa Hara mengembara ke empat buah negara atas beberapa sebab. Antaranya ialah abang mahu Hara bersedia fizikal dan mental kerana apabila pulang nanti Hara akan mengadap kerenah anak-anak yang pasti sahaja memeningkan kepala - setiap saat mereka bergaduh, bertengkar malah membuat pelbagai rancangan tanpa pengetahuan kita. Menjaga anak tidaklah semudah di fikirkan. Kadang-kadang abang sendiri lelah melayan kerenah mereka - kita manusia biasa. Penat dan lelah tentu sahaja menjadi sebahagian dari diri kita tapi segala-galanya hilang bila kita merasa bahagia punya keluarga sendiri.

Abang tahu Hara tertanya-tanya tentang perancangan abang inginkan zuriat dalam tempoh 2 tahun dari sekarang. Abang tak mahu tergesa-gesa kerana abang sendiri risau Hara masih belum bersedia memikul tanggungjawab besar dalam sekelip mata. Abang cuma mahu Hara sesuaikan diri dengan peranan baru sebelum menginjak ke fasa yang lebih besar. Tentu sahaja abang mahukan zuriat bersama Hara. Abang yakin dengan izin Allah kita akan di kurniakan zuriat seperti orang lain. Dalam masa 2 tahun ini abang ingin bebas dari ubat psikiatri supaya kita tak punya masalah untuk memiliki anak. 

Mungkin juga abang mengambil ikhtibar atas kejadian yang menimpa kawan abang yang terlalu gopoh inginkan cahaya mata sedangkan isterinya masih belum bersedia. Isterinya berusia 22 tahun dan masih dalam pengajian ijazah sarjana muda, sudah tentulah belum bersedia. Dia berkeras mahukan anak walaupun usia perkahwinan ketika itu memasuki 5 bulan. Mereka di kurniakan anak tidak lama selepas itu. Kawan abang sangat gembira kerana hajatnya tercapai. Setahun selepas itu, dia kurniakan seorang lagi puteri. Isterinya tidak begitu gembira dengan kehadiran cahaya mata kerana di anggap sebagai beban. 

Isterinya merungut hampir setiap masa kerana penat menjaga dan melayan kerenah anak. Dia seakan memberontak dan kerap marah-marah akan hal-hal kecil seumpana terpijak mainan anak. Kata kawan abang, isterinya merungut kerana tiada masa untuk diri sendiri misalnya untuk berhibur bersama teman-teman sebaya. Hubungan antara mereka menjadi semakin regang dan dingin. Dia kemudiannya meminta kawan abang mencari seorang pembantu rumah. Setelah mempunyai pembantu rumah dan berjaya mendapatkan kerja, dia tidak lagi menjaga anak-anaknya. Semuanya di serahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah.

Tidak dapat di nafikan kawan abang keletihan yang amat kerana terpaksa menjaga anak-anak, bekerja dan mengurus rumah tangga tanpa bantuan isteri. Abang kagum dengan dia kerana dia tak pernah merungut. Agaknya, mungkin kerana itu abang rasa sedikit gusar untuk berbincang mahupun berbual hal berkaitan anak dengan Hara. Abang tak mahu Hara berasa tertekan walaupun sebenarnya abang tak sabar melalui fasa yang amat membahagiakan itu. Abang menantikan detik itu untuk kita melayarinya bersama-sama. Semoaga Tuhan menitipkan yang baik-baik saja buat kita sekeluarga.

Abang sayang Hara.







Lelaki yang mengetarkan jiwamu,
Imran