Saturday, January 06, 2018

Bakal ibu mertuaku

Tanpa di sangka-sangka, hari Rabu yang lepas saya menerima panggilan telefon daripada Bonda Hara yang meminta saya menemaninya ke nursery. Saya menjemputnya di rumah kira-kira jam 9.30 pagi. Tiba di nursery, dia membeli beberapa jenis bunga yang tak begitu saya kenali. Katanya mahu di tanam di laman rumah. Saya berada di nursery kira-kira satu jam setengah. Kemudian dia memberitahu saya bahawa dia teringin benar ayam pasu dan itik salai. Saya mengajaknya ke syurga itik salai di Kuala Pilah dan ayam pasu di Tanjong Ipoh. 

Sepanjang perjalanan menuju ke Kuala Pilah, dia bertanya tentang bunga yang saya hantar sempena tahun baru pada hari Isnin yang lepas. Bonda Hara bertanya sebab-musabab saya memilih pink carnation sebagai jambangan buatnya. Kata saya, pink carnation mengikut pereka susunan bunga adalah simbolik kepada maternal love yang sesuai di hadiahkan kepada saudara perempuan yang merangkumi ibu, nenek atau anak perempuan. Bunga amat peribadi sifatnya. Kebiasaannya, kita hadiahkan bunga sebagai tanda ingatan kepada orang yang kita sayang.

Sepanjang perjalanan itu juga tak putus-putus Bonda Hara titipkan pesanan, ingatan dan nasihat buat saya. Perjalanan terasa sangat singkat tapi amat membahagiakan. Itulah hari yang mengembirakan buat saya. Pesanannya di tutur dengan lembut, penuh hikmah dan bijaksana. Katanya, saya perlu tutup rapat-rapat kisah silam supaya ia tak lagi menghantui kehidupan saya. Sememangnya saya sendiri mahu lupakan hal-hal lepas. Kata pujangga,“Menjadi satu bencana apabila kenangan lama tiba-tiba datang dan sentiasa mahu bersahabat dengan masa kini”.

Saya masih dalam proses penyembuhan. Lucas W melontarkan pertanyaan menarik dalam blognya iaitu “Are you healing? Are you recovering well? What are you recovering from, a something or a someone?”. Setiap orang mengalami mimpi ngeri dalam tingkat yang berbeza-beza. Justeru, tempoh penyembuhan antara satu individu dengan individu yang lain tidak sama. Biasanya proses ini berlangsung perlahan dalam jangka waktu yang panjang dan perlu di lalui dengan penuh keazaman, kesabaran dan doa yang berpanjangan.

Selesai membeli ayam pasu dan itik salai, saya memandu ke Seremban 2. Berhenti solat di Masjid Hussain sebelum meneruskan perjalanan ke Tanjung Sepat. Pada mulanya saya bercadang ke Bila-Bila, Avani Sepang Gold Coast tapi bila mengenangkan semua restoran di situ tidak mendapat sijil halal, saya batalkan niat. Menurut Property Representative AVANI Sepang Gold Coast “Our resort is Halal certified in the Banquet and Kitchen. However, as all our restaurants serve alcohol, we don't have the Halal certificate for the restaurants”.

Sayang sekali kerana Sepang Gold Coast mempunyai pemandangan yang cantik. Restorannya yang unik dengan nama-nama menarik seperti Sepoi-Sepoi, Bila-Bila, dan Perahu menyajikan makanan dalam kelas yang tersendiri. Mungkin kerana saya berasa was-was, saya perlu jauhkan diri daripada syubahah. Rasulullah bersabda “Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubahat (tidak terang halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai”.

Tambah Rasulullah “Orang yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam perkara haram”. Hadis ini di riwayatkan oleh Abu Abdullah An-Nu’man bin Basyir. Peringatan juga di turunkan melalui Surah al-Baqarah ayat 172 "Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah".

Kira-kira jam 5.20 petang saya hantar Bonda Hara pulang ke rumahnya di Sri Hartamas. Saya pula bergerak ke Mont Kiara untuk mengambil anak-anak yang tamat kelas muzik jam 6 petang. Sepanjang perjalanan menuju ke Mont Kiara, ingatan saya melayang mengingati arwah Ummi. Sejujurnya, saya rindu kasih sayang seorang ibu. Arwah Ummi tinggalkan saya ketika saya masih muda belia. Saya berharap agar Bonda Hara dapat terima diri saya seadanya dan mengisi kasih sayang yang arwah Ummi tinggalkan.



Lao Lake House, Vientiane, Laos
5 Januari 2018, 3.50 pagi