Saturday, December 02, 2017

Perempuan paling sempurna

Semalam, selesai sudah majlis pertunangan antara saya dan Hara. Atas permintaan Hara, majlis ringkas ini hanya berlangsung di rumahnya. Di hadiri oleh sanak-saudara dan sahabat-handai. Mengikut perancangan awal, saya tidak mahu bertunang tapi bagi menghormati permintaan Nenda (nenek Hara), saya turutkan juga. Tanggal 1 September 2017 bersamaan hari Jumaat 10 Zulhijjah yang juga merupakan Hari Raya Aidil Adha, keluarga saya bertandang ke rumah Hara untuk merisik dan menghantar tanda. Saya sendiri memilih tarikh untuk mengikat tali pertunangan pada 1 Disember 2017 bersamaan hari Jumaat 12 Rabiulawal yang jatuh pada hari kelahiran junjungan besar umat Islam.

Tidak seperti pasangan lain, saya tidak mengikut rombongan ke rumah Hara. Mungkin saja saya masih kuat memegang nasihat arwah Ummi. Mengikut arwah Ummi, pihak lelaki tidak perlu mengikut rombongan. Cukup sekadar ahli keluarga pihak lelaki bertandang ke rumah pihak perempuan. Walaupun adat dan budaya sudah berubah mengikut peredaran zaman, saya masih lagi utuh memegang adat resam sebaik mungkin. Saya kira, memegang adat resam dan bersikap tradisionalis adalah sesuatu yang wajar di pupuk dalam diri supaya kita membesar sebagai manusia yang tetap rendah diri walau berada di atas. Malangnya, masyarakat hari ini menganggap memelihara budaya sebagai sesuatu yang kolot.

Majlis berlangsung kira-kira jam 4.00 petang. Rombongan dari pihak saya membawa 7 dulang hantaran berbalas 9. Seperti orang dahulu-kala, saya dan Hara membeli barang hantaran secara berasingan. Pasangan hari ini kebiasaannya membeli hantaran untuk diri sendiri dan bertukar dengan pasangan. Kami tidak begitu. Saya sendiri tidak tahu barang-barang yang di jadikan hantaran oleh pihak perempuan. Begitulah sebaliknya. Lewat malam, ketika semua orang sudah tidur, saya melihat barang hantaran daripada Hara. Dulang pertama berisi 9 naskah buku terbitan Yayasan Negeri Johor iaitu Jurnal Warisan Johor Jilid 1 hingga 7, Politik Kerajaan Johor 1718-1862 dan Istana dan Politik Johor 1835-1885. 

Dulang ke dua berisi 5 pasang baju melayu teluk belanga, dulang ke tiga, 3 pasang capal buatan tangan, dulang ke empat 3 botol minyak wangi, dulang ke lima 3 pasang cermin mata hitam, dulang ke enam 4 naskah al-Quran pelbagai saiz, dulang ke tujuh sebentuk cincin, dulang ke lapan sebuah gitar dan dulang ke sembilan sirih junjung. Bagi saya ini adalah langkah kecil menuju kebahagiaan. Saya berharap Yang Maha Kuasa menitipkan yang baik-baik saja buat saya dan Hara. Sedang enak di buai perasaan, saya sebenarnya sedang membilang hari Hara akan berangkat ke Amerika Syarikat selama setahun. Saya mohon agar di tetapkan cinta dalam hati Hara buat saya selagi ada usia. 

Semalam, saat Nenda Hara menghubungi saya, dia bertanya tentang Hara. Ingin sekali saya memetik kata-kata indah Nabi Muhammad saat baginda mengungkapkan bait-bait cinta saat baginda di tanya tentang ratu hatinya, Saiditina Khadijah. Kata Nabi “I was nourished by her love”. Namun, bibir saya bungkam dan saya tidak menjawab soalan Nenda. Saya ingin sekali memberitahunya bahawa Hara keindahan atas segala keindahan yang ada. Dia adalah perempuan paling sempurna. Paling sempurna atas seluruh jagatraya. Saya ingin sekali memberitahunya bahawa Hara penghibur hati saya paling agung. Dialah pelangi, hujan sekaligus angin yang selalu membawa khabar bahagia buat saya. Dialah segala-galanya.