Perkara paling asas seorang bapa perlu ajarkan pada anak-anaknya ialah pengurusan kewangan. Pengurusan kewangan amat penting agar anak-anak tahu seimbangkan amaun dalam buku kira-kira mereka. Nilai inilah yang perlu kita terapkan kepada anak-anak agar mereka tahu kepentingan mengawal perbelanjaan, membuat tabungan dan pelaburan. Berilah pendidikan perakaunan kepada anak-anak sejak kecil. Kelak apabila dewasa, mereka pandai mengurus kewangan rumah tangga. Kunci kesejahteraan sebuah syarikat yang berjaya, keluarga yang sejahtera dan individu yang cemerlang banyak bergantung kepada pengurusan kewangan yang mantap.
Dalam membuat pelaburan pula, asas paling penting ialah menjauhi sikap tamak. Pelaburan membantu individu menjadi kaya dalam sekelip mata. Tidak kurang juga muflis dalam beberapa saat. Sikap tamak, tidak sabar dan kurang teliti dalam membuat penilaian menyebabkan pelabur banyak gulung tikar. Lebih malang lagi, mereka mengadai segala-galanya demi sebuah pelaburan singkat. Mungkin sahaja mereka terlupa menyimpan sedikit pendapatan untuk tujuan tabungan di waktu sulit sebagai pelan hayat jangka panjang. Tabungan, walau sekecil sepuluh sen, jangan sesekali di pandang remah kerana itulah talian nyawa kita di saat buntu. Moleklah seperti kata peribahasa, sediakan payung sebelum hujan.