Wednesday, August 02, 2017

Nilai sebuah perhubungan

Maafkan abang kerana mengelak beberapa kali bila Hara cuba berbual hal tempoh hari. Bukan abang tak mahu bercakap, abang perlukan sedikit masa untuk redakan kemarahan. Hal kecurangan sangat dekat dengan diri abang. Hara sendiri tahu abang sebolehnya tak mahu ada insan lain dalam dunia ini merasa pahitnya di khianti walaupun abang sedar abang tak mampu berbuat apa-apa. Tempoh hari abang terserempak dengan Zulaikha bersama seorang lelaki. Mereka kelihatan sungguh mesra. Ribut di Kalanggaman Island tempoh hari nampaknya benar bila abang sendiri melihat Zulaikha bermesra dengan lelaki lain sedang ketika ini Ghaz sedang sibuk berkerja di Panama. 

Perasaan ini timbul begitu sahaja. Abang tiba-tiba marah, marah yang teramat sangat. Abang sedih bila mengenangkan Ghaz. Abang tahu hubungan mereka dingin walaupun abang tak bertanya. Ribut dalam secawan kopi tidak dapat di bendung lama. Ghaz beritahu pada Ocio yang Zulaikha sudah minta cerai. Zulaikha mahu Ghaz ceraikannya kerana sudah terang lagi bersuluh, tanpa berselindung - dia sudah bertemu lelaki baru yang mungkin menurutnya jauh lebih baik dari Ghaz. Tidak ada lelaki dalam dunia ini dapat terima jika wanita yang di dampinginya bermain kayu tiga.

Ghaz masih sayangkan Zulaikha. Dia masih mahu selamatkan rumah tangga mereka. Malangnya di pihak Zulaikha, dia tetap dengan keputusan minta di lepaskan. Putusnya satu ikatan merupakan titik paling sukar dalam hidup seseorang. Titik ini merupakan titik hitam yang akan di kenang selagi hayat di kandung badan. Hara perlu tahu dalam sebuah perhubungan, terdapat dua perkara asas yang menjadi tunjang sebuah ikatan. Dua perkara itu ialah kasih sayang dan kepercayaan. Cinta tak akan hadir tanpa kepercayaan. Tanpa kepercayaan, tidak wujud cinta. Tanpanya tidak akan wujud sebuah ikatan bernama perhubungan. Kata orang “The best proof of love is trust”.

Abang tahu dalam sebuah ikatan pasti banyak pertengkaran, perselisihan faham, ketidaksepakatan dan kesukaran untuk saling memberi dan menerima. Tapi itu bukan alasan kepercayaan antara dua hati tidak dapat di bina. Setiap perhubungan akan ada pasang surut. Setiap perhubungan tidak menjanjikan yang manis-manis sahaja. Di sinilah perlunya kematangan setiap pasangan untuk menjernihkan keadaan. Api tak boleh di lawan dengan api. Api harus di padam dengan air. Begitulah sifat kita dalam sebuah ikatan. Kita tidak bertengkar untuk mencapai kemenangan, kita bertengkar untuk mencapai maufakat dalam sebuah perhubungan. 

Perlakuan curang selalu membuat mangsa menjadi benci. Kebenciaan selalu memusnahkan manusia dalam apa juga bentuk sekali pun. Berjaga-jagalah dengan hati kita. Bila hati kita terdetik rasa benci, cinta yang kita bina akan musnah begitu sahaja dalam sekelip mata. Hala tuju hati kita, kemudinya bukan di tangan kita. Hala tuju hati kita, hati kitalah yang menentukan segalanya. Tidak pernah ada paksaan. Abang selalu berjaga-jaga dengan hati supaya tidak terdetik walau sesaat untuk membenci kerana abang tak mahu hanyut dalam arus kebenciaan walaupun hati abang begitu mahu sekali membencinya.

Dalam dunia ini, atas alasan apa sekalipun, manusia dan seluruh isi alam tak akan sama sekali menghalalkan kecurangan walau di beri seribu alasan sekali pun. Perbuatan ini begitu keji sekali di mata masyarakat apatah lagi di mata pasangan yang kita khianati. Hakikat hidup ini, sampai bumi terbelah dua, curang tetap di pandang hina penuh nista. Tidak akan ada manusia waras yang mahu menghormati orang yang berbuat curang walaupun akhlak orang yang di curangi tidak ubah seperti iblis. Begitulah mata masyarakat memandangkan perbuatan curang; tak ubah seperti perbuatan tanpa kata  maaf.

Kita berpijak pada bumi yang sama. Kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Setiap apa yang kita lakukan pada orang lain kelak akan patah balik pada diri kita. Janganlah kita sakiti hati orang lain kalau kita tak mahu orang lain sakiti hati kita. Dunia ini ada timbal-balik, ada karmanya. Hari ini kita berbuat curang. Esok lusa kita pula yang jadi mangsa kecurangan. Kita tak tahu apa pula takdir yang menunggu untuk kita di masa akan datang. Jika kita tidak bahagia, berpisahlah secara baik. Jangan di sakiti hatinya, jangan di hancurkan kepercayaannya. Ketahuilah nilai sebuah perhubungan tidak dapat di hitung dengan wang emas.


The most damaging aspect of abuse is the trauma to our hearts and souls from being betrayed by the people we love and trust. — Anonymous





Jungfraubahn, Switzerland
2 Ogos 2017, 11.10 pagi