Wednesday, August 09, 2017

Haffez

Abang masih dalam perjalanan dari Toronto ke Vancouver. Perjalanan sejauh 4466 kilometer ini mengambil masa selama 5 hari. Kata orang ini adalah pengembaraan (wajib) sekali seumur hidup. Hari ini merupakan hari ketiga abang berada di dalam train. Mengikut jadual, hari ini perjalanan bermula dari Winnipeg ke Saskatoon. Perjalanan berjalan lancar. Pemandangan sepanjang laluan amat mengagumkan. Semalam dan kemarin, laluan train di penuhi kawasan perindustrian dan blok-blok bangunan. Esok adalah hari yang di tunggu-tunggu oleh semua penumpang kerana train akan bergerak ke Jasper National Park, Alberta salah satu taman negara tercantik di Kanada.

Selesai sarapan jam 8.10 pagi, abang bergerak ke kabin. Anak-anak duduk di tepi tingkap bersama kamera - merakam sebanyak mungkin gambar sebagai kenangan sepanjang perjalanan. Abang duduk tanpa berbuat apa-apa. Hanya membuang pandangan ke luar; menikmati alam ciptaan Tuhan sambil memandang anak-anak berbual, berbisik, dan ketawa kegirangan. Abang cuba merapatkan tangan seerat mungkin, melafazkan syukur atas setiap nikmat yang Tuhan berikan - harta, anak-anak, kesihatan, kelapangan, keluarga dan Hara. Abang bersyukur atas setiap detik indah, hidup abang penuh warna dan bercahaya.

Setiap hari abang belajar menikmati alam ini serta penghuni di dalamnya. Abang mahu lebih mensyukuri nikmat yang Tuhan kurniakan buat abang. Abang mahu menghirup udara bersih di pagi hari kerana abang tahu sukarnya bernafas bila bergantung pada alat pernafasan. Abang mahu menikmati basahnya rintik hujan, merasai dinginnya kabus di subuh hari, melihat matahari terbit setiap pagi, mendengar kicauan burung di waktu senja dan tentu sekali melihat bulan bintang di waktu malam. Hal-hal ini adalah hal yang kecil tapi besar maknanya buat abang. Bila kita lebih bersyukur, Tuhan kurniakan kita lebih kesenangan. 

Bersyukurlah pada Tuhan kerana Hara masih di beri peluang untuk merasai hidup di atas dunia ini. Terima kasih kerana berkongsi berita dengan abang bahawa bekas tunang Hara, Haffez telah mendirikan baitul muslim tanggal 29 Julai lepas. Abang pasti sedikit-sebanyak Hara berasa sedih kerana dia meninggalkan Hara untuk bina sebuah kehidupan baru bersama orang lain. Ketahuilah sayang, bahawa setiap manusia pasti akan berasa sedih di tinggalkan orang tersayang. Setiap manusia di kurniakan hati dan perasaan. Pastilah kita merasa sedih atas kebahagiaan yang lenyap begitu sahaja. Janganlah Hara malu menzahirkan kesedihan kerana ia adalah lumrah kehidupan. 

Hara ada abang. Abang berjanji akan bahagiakan Hara dengan segala kudrat yang abang miliki seperti kata Lucas W. “I promise you, I will take you to a place you feel safe. I will make this world feel like a home. I will never allow the world to steal you away from you. I promise you, I will do what it takes to keep your smile happy, heart safe, and your soul loved”. Abang mahu berkongsi hidup dengan Hara, membina dunia kecil kita serba sederhana. Abang mahu meneroka alam ini dan seluruh isi dunia bersama Hara. Abang bercita-cita ingin mendaki Gunung Everest bersama Hara. Kalau kita tak sampai ke kemuncak, menjejak kaki di base camp sudah cukup buat abang. 

Abang selalu ada untuk Hara. Abang mahu menikmati setiap detik bersama Hara. Kita raikan hidup dengan senyuman, gelak ketawa dan perbincangan-perbincangan sederhana berat. Abang mahu Hara tahu yang abang berasa beruntung mengenali Hara. Abang bersyukur Hara hadir dalam hidup abang. Abang gembira bersama Hara. Abang jatuh cinta bukan kerana rupa paras Hara tapi kerana santun budi yang Hara miliki. Hara memiliki segala-galanya. Di mata abang, Hara begitu sempurna seperti kata F. Scott Fitzgerald “You are the finest, loveliest, tenderest, and most beautiful person I have ever known - and even that is an understatement”




11.30 pagi, 9 Ogos 2017
Winnipeg, Manitoba