Hara yang kusayangi,
Abang bercadang ingin dirikan baitul muslim bersama Hara tahun hadapan. Tarikhnya sudah ada. Abang bercadang ingin hantar rombongan merisik awal bulan September. Abang rasa begitu teruja membina hidup bersama Hara, menjadi suami pada seorang isteri, menjadi ketua keluarga. Dalam masa yang sama abang sebenarnya takut - takut kalau abang gagal menjadi suami dan ketua keluarga yang baik. Mulai saat abang berniat untuk menikahi Hara, abang mulakan langkah pertama dengan membeli, mencari, membaca, dan menelaah lebih banyak buku serta menekuni pelbagai ragam ilmu. Pesan Sallim A. Fillah, “Selama perjalanan menuju pernikahan, tak ada bekal yang lebih penting untuk engkau persiapkan melebihi niat dan ilmu”.
Mempunyai teman sebaik Hara amat menguntungkan jiwa abang. Kita berkongsi pelbagai ilmu. Kita berbincang, bertukar pendapat dan berbahas. Melalui Hara abang mengenali lebih banyak buku dari bidang yang belum begitu mendalam abang terokai. Setelah Hara memperkenalkan Bidayatul Mujtahid Wa Nihayatul Muqtashid, abang tanpa ragu-ragu mencari dan membeli karya Averroës ini dalam dua versi - versi asal dan terjemahan inggerisnya The Distinguished Jurist's Primer. Dalam pencarian, abang bertemu Kitab al-Hikam tulisan ulama terkenal, Ibn Ata'illah yang telah di terjemahkan ke dalam bahasa inggeris oleh Islamic Book Trust dengan judul The Book of Aphorisms. Abang beli 5 naskah, salah satunya untuk Hara.
Bertemu Hara seperti memasuki sebuah perpustakaan yang hebat. Perpustakaan yang mengandungi pelbagai ragam ilmu. Terima kasih kerana memperkenalkan abang dengan karya-karya hebat yang menajamkan akal, menjernihkan fikiran. Abang terasa begitu kerdil bila membacanya. Abang melalui pengembaraan rohani yang mengagumkan bersama Hara. Terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu dengan abang. Janganlah terlalu memuji kerana ilmu yang abang miliki hanyalah sebesar biji sawi di tengah lautan. Masih banyak yang belum abang pelajari. Masih terlalu banyak yang belum di tekuni. Abang selalu berharap mempunyai teman dalam meneroka ilmu dan Tuhan anugerah Hara buat abang, perempuan yang cerdas akal fikiran.
Perjalanan kita masih panjang. Kita perlu lebih tekun menanam benih mahabbah dalam diri agar cinta yang kita tanam menjadi buah yang ranum hasilnya. Hidup kita di dunia tidak lebih dari nikmat yang telah Tuhan tuliskan buat kita. Salah satu nikmat dunia ialah perkahwinan kerana di situlah asas iman. Pernikahan adalah pelengkap kehidupan, separuh dari tiang keimanan. Perkahwinanlah yang menyempurnakan kehidupan kita sebagai manusia di atas muka bumi ini. Ketahuilah bahawa setiap manusia hidup berpasang-pasangan, setiap lelaki di berikan seorang perempuan buat pelengkap rusuk kirinya. Haralah rusuk kiri abang, pelengkap hidup abang, pengubat lara, penghibur jiwa dan segala isi dunia.
Bring your book, and I’ll bring mine,
and let’s take turns to read line by line.
A piece of your soul, a piece of my mind,
word by word, we’ll create a little story, our life.
— Somako
Johannesburg, South Africa
5.10 petang, 21 Julai 2017