Hari ini secara tiba-tiba teringatkan Hana. Agak lama tak berhubung dengan dia. Entah kenapa tiba-tiba rasa bersalah sebab selalu marah-marah dan cakap kasar dengannya. Dan entah kenapa rasa marah pada dia walhal itu bukan salah dia pun. Bila kita dalam keadaan serabut kita tak dapat berfikir dengan tenang.
Saya masih ingat saat awak marah dengan saya bila awak tahu saya ambil tiket ke Paris jumpa Hana. Entah kenapa saya ambil tiket ke Paris dan tak benarkan Hana datang ke Guangzhou jumpa saya. Saya tak ada apa-apa perasaan pada Hana. Saya mungkin kasihan padanya sebab saya pernah lalui situasi yang sama.
Dan awak cakap pada saya macam-macam. Panjang betul e-mel yang awak hantar pada saya. Awak panggil saya dengan pelbagai panggilan. Saya rasa terguris hati sangat dan tak tahu nak buat apa. Saya tahu bila awak marah bermakna Perang Dunia Ketiga akan meletus.
Sejak hari itu saya marah pada Hana walhal itu pilihan saya sendiri. Awak marah benar pada saya walhal ketika itu status saya tidak lagi bersama awak. Kita sudah putus waktu itu. Saya sedar kemarahan awak yang meluap-luap membuatkan awak menulis e-mel yang panjang.
.
Kalaulah awak tahu betapa kuatnya saya melawan perasaan saya sendiri ketika ini. Saya nak pergi dari hidup awak. Saya nak pergi jauh hingga awak tak nampak bayang saya lagi. Saya tak mahu apa-apa dari awak. Hidup saya sudah cukup serabut sejak hadirnya A antara kita.
Saya tahu saya bukan lelaki yang sebaik-baiknya untuk awak. Tak pernah dalam doa saya minta Tuhan pulangkan awak pada saya. Sekali pun saya tak pernah minta. Saya cuma doa di berikan kekuatan untuk teruskan hidup. Saya beritahu pada Tuhan saya redha awak pilih A.
Saya cuma minta Tuhan tarik semula rasa cinta saya pada awak. Saya cuma minta Tuhan padamkan apa saja memori tentang awak yang masih berpaut pada fikiran saya. Saya cuma minta Tuhan jauhkan saya dari awak sejauh yang mungkin. Saya cuma minta Tuhan tenangkan hati saya.
Saya tak dendam pada awak. Saya tak benci awak. Saya masih cintakan awak seperti dulu. Rasa cinta saya tak pernah kurang sungguh pun saya pernah menghinakan diri saya merayu, minta awak jangan pergi. Saya tak pernah merayu pada sesiapa hatta pada Tuhan saya sendiri. Saya tak pernah menghinakan diri pada sesiapa hatta pada Pencipta saya sendiri.
Ini tahun ketiga Ramadan tanpa awak. Kadang-kadang saya akui saya rindu dengan small talk selepas Subuh sebelum awak pergi kerja. Saya akui saya rindu dengan perasaan yang saya ada ketika itu. Saya rindu tapi saya simpan jauh-jauh rindu yang ada. Awak tahu betapa sesaknya dada menahan perasaan? Tak terucapkan.
Sayang, untuk setiap yang kita pernah ada, untuk setiap yang kita tak sempat merasainya, terima kasih kerana mencintai saya di sudut hati yang paling dalam. You’ll always be the one for me.
Adalah cinta yang
mengubah jalannya
waktu
Karena cinta, waktu
terbahagi dua
Denganmu, dan rindu
untuk membalik masa
- Ada Apa Dengan Cinta
al-Iskandariyyah, Mesir
Seusai Sahur