Friday, April 08, 2016

Menantu Kesayangan Ibu

Ibu tahu, saya rindukan anak ibu. Satu-satunya anak Ibu yang comel tapi garang. Saya nak mengadu, dia suka buli saya. Dia suka ‘kacau’ saya - setiap hari saya fikirkan dia . Tapi rindu tak akan bawa apa-apa makna dan saya akan terus menderita akibat kerinduan yang mendalam. Orang kata kerinduan sukar di padam.

Entah kenapa saya masih rindukan dia walaupun perpisahan kami sudah hampir dua tahun. Tak ada sebab saya jatuh cinta pada dia - yang saya tahu hati saya suka dia. She’s wonderful. Dia buat saya gembira. Walaupun dia garang tapi sebenarnya dia manja. Saya tak pernah mengagumi perempuan lain selain dia. 

Hari-hari yang saya lalui teramat suram. Pakar psikiatri yang merawat saya kata, saya mengalami kemurungan dan tekanan perasaan yang amat tinggi, di tahap yang merbahaya. Sejak berpisah, saya bawa diri ke banyak tempat dengan harapan dapat lupakan dia tapi saya tak pernah berjaya. She’s not the woman that easy to let go. Saya tahu saya tak akan jumpa perempuan seperti dia lagi. Tak akan ada penganti seperti dirinya.

Saya tak cuba pujuk dia. Memandangkan dia garang, degil dan tegas, saya tak rasa saya akan berjaya. Lagipun dia beri kata putus dia tak mahukan saya lagi. Saya tahu saya bukan lelaki yang baik untuk dia. Saya tahu, dia lebih layak untuk lelaki yang lebih baik dari saya. 

Ibu tahu, bila anak Ibu beritahu dia jatuh cinta pada A, saya rasa dunia saya gelap. Saya rasa seperti batu besar menghempap diri saya. Ia sesuatu yang amat sukar untuk saya terima. Dia minta saya lepaskan dia pergi. Sampai sekarang saya masih ingat. Saya kalah perasaan bila dia kata kalau saya sayang dia, lepaskan dia pergi. Saya tak ada pilihan.

Sebelum dan selepas kenal anak Ibu, saya kenal ramai perempuan cantik dan berkerjaya tapi tak ada yang menarik hati saya. Dalam hidup, saya tak cari perempuan cantik. Perempuan cantik ada di mana-mana. Saya cari perempuan seperti anak Ibu. Cuma sayang saya gagal pertahankan cinta saya. 

Ibu jangan marah dia kalau dia kerja tanpa rehat secukupnya. Dia cuba fokus dan habiskan waktu seharian dengan kerja supaya dia dapat lupakan saya. Saya tahu bukan mudah untuk dia lupakan saya kerana saya cinta pertama dia. Mungkin dia tak ambil begitu banyak masa seperti saya untuk move on tapi saya tahu dia juga struggle untuk lupakan saya. Seperti yang saya kata, ia bukan mudah.

Ramai orang kata saya dayus sebab saya masih sayangkan dia walaupun dia pernah tinggalkan saya sebab orang lain. Saya tak begitu ambil pusing cakap-cakap orang sebab arwah Ummi selalu pesan manusia selalu buat kesilapan, manusia tak sempurna. Sungguhpun saya masih sayangkan dia, saya tak cuba untuk sambung semula hubungan kami sebab saya hormati permintaannya. 

Luka yang paling pedih ialah kehilangan orang tersayang tapi saya bersyukur Tuhan sembuhkan saya dari kanser dan beri peluang kedua menikmati hidup baru. Saya mungkin tak akan bersamanya lagi. Melihat dia bahagia dengan kebahagiaan yang tak dapat saya berikan dulu turut membuat saya gembira. Kebahagiaan dan kegembiraan dia adalah segala-galanya buat saya.

If you truly love someone, then the only thing you want for them is to be happy even if its not with you - Unknown

Semoga Ibu sihat, gembira dan dapat menikmati hidup dengan lebih bermakna. 




Imran
Menantu kesayangan Ibu.