Sunday, June 28, 2015

Yang pernah ada...

Hai awak.

Puasa tak? Biasanya kalau bulan puasa awak bangun sahur awal. Kemudian sambung tidur sebelum mengedik-gedik dengan abang. Biasanya juga awak akan bangun lebih kurang jam 6.15 pagi sebelum mandi dengan cepatnya (tak sampai 10 minit pun abang rasa) sebelum bersiap pergi kerja. Awak makan sahur pun tak banyak mana. Bila berbuka pun makan ala orang diet tapi badan tak kurus-kurus pun lagi hehehe. Diet awak ada yang tak kena agaknya.

Puasa tahun kedua tanpa awak. Sahur pun kadang-kadang rasa malas nak bangun. Kalau bangun pun tak makan banyak sangat. Selain makan ubat, minum air secawan dua. Tak ada selera nak makan. Kadang-kadang terlelap di meja makan sebab tidur lewat dan badan letih yang amat. Bila dapat tidur tak ingat dunia. Puasa awak okey? Bila pergi Sabah? Sabah berbuka awal. Sahur pun awal juga. Tempat baru tentu beri pengalaman baru.

Abang selalu ingat awak kata (bukan awak kata, ustazah awak kata – cool betul ustazah awak), kalau nak buat apa-apa pun (ehem-ehem) batalkan puasa dulu. Licik sungguh cara ustazah awak berfikir. Pandai dia cari idea dan mengelat tapi cara memang betul. Kalau tak batalkan puasa matilah kena ganti. Bila abang teringat apa awak cakap, abang selalu senyum. Abang boleh senyum saja nak buat apa lagi. Sekurang-kurang senyum boleh kurangkan kerinduaan.

Abang ada kerja di Norway. Datang bawa anak-anak tengok midnight sun. Abang selalu harap awak tak lupa abang tapi kalau awak ingat abang pun tak ada faedahnya, kan? Segala kesilapan yang abang buat, segala kelemahan yang abang ada, abang tak dapat betulkan. Walaupun abang mampu sesuaikan diri dengan ketiadaan awak, di kebanyakan masa abang rindukan awak. Awak yang comel, awak yang manis, awak yang garang, awak yang sombong, awak yang luar nampak keras tapi dalam hati tisu. Awak yang kuat cemburu.

Abang selalu ingat budak kecik abang. Kadang-kadang abang rindukan patung cina warna merah awak yang comel (macam awak). Lama tak dengar patung cakap “I Love You”. Hmm…abang rasa sunyi tak ada kawan. Dulu awak selalu ada dengan abang. Sekarang tak ada lagi. Dulu abang ada kawan berborak sekarang tak tahu nak berborak dengan siapa. Berborak dengan orang lain tak best macam berborak dengan awak. Abang buat kerja pun tak ada orang teman, tak ada orang selalu kacau-kacau abang bila abang fokus buat kerja, tak ada orang goda-goda abang ajak baring berborak kosong.

Abang tak ada niat nak kacau hidup baru awak. Cuma kadang-kadang kerinduan tak dapat di bendung dan di sekat-sekat walaupun kita cuba sehabis daya. Abang rindukan awak yang nakal, yang manja, yang suka di pujuk, yang selalu inginkan perhatian. Merindu awak tak akan habis. Kerinduan tak pernah ada noktah. Kadang-kadang abang rasa tak boleh terima tapi abang  sedar sudah setahun perkara ini berlaku walau abang rasa seolah-olah baru semalam terjadi. Berpisah dari awak amat memeritkan. Dunia tak pernah berhenti berputar dan abang tak pernah berhenti merindu.

Awak tetap jadi orang pertama yang abang fikir bila abang bangun dari tidur. Awak juga jadi orang terakhir yang abang ingat bila abang hendak tidur. Awak juga yang bermain di fikiran abang saat abang menghadapi mesyuarat penting. Abang tak tahu cara untuk berhenti mengingat, merindu dan mencintai awak. Abang cuma tahu awak perempuan yang paling istimewa dalam hidup abang. Perempuan yang paling abang sayang. Perempuan yang tak mampu abang buang jauah-jauh dari hati dan fikiran abang. Setiap kali abang gembira, setiap kali abang susah hati, setiap kali abang sedih, setiap kali abang rungsing, abang cuma dapat fikir awaklah satu-satunya yang abang ada…yang abang pernah ada…

Cinta ini pasti diuji kerana ia sudah tradisi janji
Di depan menanti sudah
Seribu pahit jutaan payah
Namun cinta kita akan terus bahagia
Kerana bajanya derita...