Tuesday, September 09, 2014

Sekadar perlepas kata...

13 September tahun lepas awak dapat tukar ke Hospital Kajang. MO di hospital lama agak teruk. Selalu cari fasal dengan awak. Bermula bulan Jun (mungkin Mei) hinggalah Ogos, awak selalu risau dengan kerjaya awak. Awak buat perancangan – tukar hospital/sambung Master dan satu opsyen lagi yang saya sudah lupa. Kita melalui detik yang agak getir juga. Ketika awak di Korea, awak dapat berita gembira. Awak dapat tukar tempat kerja.

Jun tahun ini tak sama dengan tahun lepas. Jun tahun ini segalanya berubah. Kita melalui detik yang sukar, yang lebih sukar dari tahun-tahun sebelum ini. Kita cuba tapi nampaknya keadaan menjadi lebih sukar. Hari kita gaduh buat kali terakhir memang hari malang buat saya – MO cari fasal dengan awak, saya tanya soalan dan awak kata “Saya tak nak awak. Saya tak nak apa-apa dah”.

_ _ _ _

Saya tahu hidup dengan saya banyak derita dari bahagia. Banyak air mata dari senyuman. Mungkin saya pernah jadi beban dalam hidup awak. Mungkin saya tak pernah jadi yang cukup baik untuk awak. Saya tahu hidup dengan orang sakit tak bahagia. Banyak di rundung derita walaupun saya cuba sembunyikan sehabis baik. Saya faham kalau awak tak mahu hidup dengan saya. Saya faham kenapa awak minta saya tinggalkan awak. 

Waktu kita gaduh, waktu saya cuma pilihan kedua, waktu awak ada orang lain, saya bertahan – sebab awak cakap “Please, jangan tinggalkan sayang, walaupun kita gaduh teruk macam mana pun, walaupun sayang sakitkan hati abang macam mana pun, walaupun sayang tak layan abang macam mana pun...please...stay with me...”. Saya mungkin terlalu lurus – saya pegang apa yang awak cakap. Atas sebab itu saya tak mahu tinggalkan awak. Dan sebab saya sangat sayangkan awak…

_ _ _ _

Tak kiralah MO buat apa pun pada awak, bertahanlah. Junior memang selalu kena buli. Tahun awal pekerjaan tak pernah menyenangkan. Jarang sekali buat kita selesa. Jangan putus asa. Saya tahu awak cintakan kerjaya awak. Saya tahu saya tak ada apa-apa. Saya tak mampu bahagiakan awak. Hidup dengan saya bukan hidup yang nyata. Yang ada hanya derita dan air mata.

Saya bangga mencintai perempuan seperti awak. Terus berbakti pada masyarakat. Jangan mengalah dengan halangan. Dunia ini luas untuk orang yang bercita-cita tinggi seperti awak. Kalau awak rasa awak sedang rebah, sedang jatuh – bangunlah. Bangun dan hadap apa saja yang ada di hadapan awak. Awak seorang yang kuat malah lebih kuat dari saya. Ada banyak takah yang perlu di daki. Saya tak ada dalam pendakian kali ini. Tapi saya percaya awak mampu lakukan.

Usaha tangga kejayaan.