Semalam, tiba-tiba saya teringatkan “A, a good friend...”. Sebelum tidur, tiba-tiba saya teringat “Saya kenal dia sehari tapi rasa macam berbulan-bulan lamanya...”. Saya rasa kecil. Saya rasa kerdil. Saya rasa serba kekurangan. Saya rasa saya bukan apa-apa. Saya tak mahu fikirkan sangat. Tapi saya tak boleh bohong, kadang-kadang saya masih terasa kesakitannya. Orang kata luka boleh sembuh tapi parut tetap ada.
Saya berlawan dengan diri saya sendiri. Saya berlawan dengan kata-kata, bayangan yang ada dalam fikiran saya. Saya berperang dengan diri sendiri. Sebenarnya, kata-kata jahat yang membuatkan diri kita menjadi lebih teruk. Perasaan syak wasangka, kepercayaan masih lagi bermain-main di fikiran saya. Saya rasa saya melalui fasa baru dalam hubungan kita.
Seperti yang pernah saya tuliskan dulu (dan saya menyesal kerana memadamnya), ada banyak tahap dalam cinta. Saya sama sekali tidak pernah menyangka yang saya (dan kita) akan melalui tahap ini. Ini satu tahap yang agak tinggi. Saya gembira kerana kita melaluinya -segala ribut, pertengkaran, pertelingkahan, hamburan kata-kata yang menyakitkan hati, kemaafan dan segalanya. Sekarang kita ialah manusia yang baru seperti kata Haruki Mukarami “When you come out of the storm you won’t be the same person that walked in. That’s what the storm is all about”
Saya rasa hubungan kita suatu hubungan yang hebat.
_ _ _ _
Bila kita bergaduh, saya sedar yang I took you for granted. Saya kurang habiskan masa dengan awak (sebab saya selalu lebihkan kerja saya), saya tak (lagi) beri awak kad-kad istimewa, saya tak ambil pusing hari-hari penting antara kita (hari ulang tahun, hari lahir awak). Saya terlalu yakin yang awak hak saya, milik saya sepenuhnya hinggalah ada orang lain hadir antara kita dan awak pilih dia. Awak tahu, ia satu tamparan yang maha hebat untuk saya...
Tamparan yang paling hebat sebenarnya bila awak tak pedulikan saya semasa ada dia. Saya tak tahu nak gambarkan apa yang saya rasa. Saya rasa sangat tertekan. Saya rasa segala-galanya telah habis – telah hancur berkecai. Saya tak pernah salahkan A. Walaupun kadang-kadang saya rasa cemburu dengan dia tapi saya tak salahkan dia. Saya rasa cemburu bila awak menangkan dia berbanding saya. Sagetha Siriwat kata “If you love two people at the same time, choose the second. If you really loved the first one, you wouldn’t have fallen for the second”. Saya rasa sakit hati yang tak boleh di bendung...
_ _ _ _
Bila hubungan awak dan dia terhalang, kita okey semula. Saya tak pernah fikir yang saya adalah pilihan kedua hingga Kak Anis panggil saya sloppy seconds. Kita okey tapi saya rasa kita tak begitu okey. Saya rasa seolah-olah orang asing. Dan saya marah sebab apa yang saya rasa tak sama macam dulu. Kita tak sama macam dulu. Dan saya lepaskan awak pergi. Saya lepaskan awak pergi bukan sebab awak (pernah) ada orang lain tapi sebab diri saya – saya degil. Saya nak rasa yang sama bila saya dengan awak.
Kita bertengkar teruk selepas itu. Saya kata “Pergi mampus dengan cinta kita”. Saya marah dan saya cakap perkara yang paling saya kesali hingga hari ini. Saya tahu saya terlampau kasar dengan awak. Saya tahu saya buat awak sakit hati. Saya tahu saya tak pernah sekasar itu sebelum ini. Awak betul, kita sama-sama terluka. Bukan saya seorang. Apa yang awak tanggung lebih berat dari saya. Saya pentingkan diri. Saya tak jaga perasaan awak.
Saya selalu kata pada diri sendiri yang saya saja lalui semua kesakitan ini. Saya lupa yang awak juga melalui apa yang saya rasai. Kita melalui perkara yang sama. Kita melalui kesakitan, kesedihan dan kerinduan yang sama. Banyak perkara yang kita tempuhi bersama. James Thurber kata “Love is what you’ve been through with somebody”. Dan saya rasa dia betul.
_ _ _ _
Saya tak boleh janjikan apa-apa selepas pembedahan ini. Ada banyak “What if...” yang bermain di fikiran saya. Untuk segala yang terjadi, saya tetap cintakan awak. “None of your scars can make me love you less”. Awak sumber inspirasi saya. Awak sumber kekuatan saya. Awak lengkapkan saya dengan cinta dan kasih sayang. Awak mudahkan yang susah. Awak ringankan yang berat. Awak buat hidup saya indah.
Terima kasih untuk cinta yang indah ini. Cinta kita seperti kata Gayle Forman “Love, it never dies. It never goes away; it never fades, so long as you hang on to it. Love can make you immortal”.
Layang-layang di atas bukit,
Kayu tengar dari seberang,
Cinta sayang bukan sedikit,
Racun penawar puan seorang.
Asam jawa pokok di hutan,
Di bawa orang tanam di desa,
Ada nyawa ada harapan,
Tidak ku mahu berputus asa.
Segala Cinta,
Abang
20140801
The City of Light