Monday, January 27, 2014

2.53am

1.

Pemimpin tak kisah dengan kesengsaraan rakyat. Rakyat di mandulkan fikirannya. Masih ada kawasan yang tidak ada sekolah, masih ada kawasan yang tidak mempunyai jalan raya dan bekalan air yang bersih. Melawat tapak Pusat Komuniti di Sarawak tempoh hari – hari yang sama berlaku kejadian bot karam. Bot merupakan pengangkutan utama di sana. Terasa gayat bila berada di dalam bot terutama bila bot terolang-aleng. Menaiki bot dengan penuh penumpang tidak sama dengan pengalaman menaiki cruise.

Pusat Komuniti akan di bina di Sarawak. Di salah satu daerah kecil di Sarawak. Terlalu pendalaman. Tiada apa-apa di sana. Sekolah tidak di bina dengan alasan tidak cukup murid. Ibu bapa hanya minta di dirikan pondok – beratap daun dan berlantai tanah. Terasa sebak bila memikirkan penduduk di sini terbiar tanpa pendidikan. Di sini akan di bina sebuah perpustakaan. Sudah ada sukarelawan yang sudi mengajar di kawasan terpencil ini. Negeri yang kaya dengan sumber alam tapi rakyat di biar tidak berpelajaran.

Ada satu impian besar di sini. Impian untuk melihat kanak-kanak di sini boleh menulis, membaca dan mengira. Impian yang lebih besar – membina Pusat Komuniti di setiap daerah di Sarawak. Satu Pusat Komuniti untuk setiap tempat.

Minggu hadapan akan ke Sabah. Melihat tempat untuk membuka sebuah Pusat Komuniti di sana.


2.

Minggu ini tidak mengajar. Rasanya sudah sampai ke titik penamat. Sejak awal Januari mata tidak henti-henti berasa pedih dan sakit. Tulisan tidak boleh di baca. Semuanya nampak blur. Cuba untuk menghabiskan senaskah novel tapi masih belum berjaya. Kelas braille berjalan seperti biasa. Sudah mula kenal huruf tapi masih belum pandai membaca. Sudah pandai mengeja perkataan yang pendek-pendek.

Kalau mata masih boleh melihat walaupun samar-samar bolehlah terus mengajar kanak-kanak. Ada beberapa aktiviti pada bulan Febuari akan datang. Sedang merangka aktiviti hingga bulan Mei merangkumi wacana, diskusi, pameran dan kegiatan sukarelawan. Sedang memikirkan diskusi buku tapi belum jumpa buku yang sesuai. Bukan merendah-rendahkan remaja tapi kena pilih buku yang sesuai dengan tahap pemikiran dan subjek yang menarik untuk perbincangan.

Umar tak mahu ke Sudan. Akan hantar dua orang remaja ke sana. Lebih tepat dua remaja kaki rempit. Untuk dua minggu mereka akan bantu apa yang patut  di sana. Ramai yang kata ini idea gila – menghantar mat rempit ke Sudan tidak dapat mengubah apa-apa. Harapnya mereka dapat mengutip sesuatu. Manusia harus di beri peluang.

Umar cakap jangan berharap sangat.