1.
Baru tiga hari awak
pergi Korea. Saya rasa macam lama sangat berjauhan. Sebenarnya ini bukan kali
pertama kita berjauhan. Dari India ke London ke Dublin ke Korea dan entah berapa
tempat lagi. Saya sendiri pun sudah lupa. Yang pasti ini bukan kali pertama.
Saya rasa saya
demam semula. Badan panas. Hari ini saja empat lima kali saya pengsan. Saya tak
bawa anak-anak pergi makan udang galah sebab saya tak sihat. Saya tak makan apa-apa sejak hari Sabtu sebab gusi bengkak. Asyik berdarah.
Dan semalam saya
tidur seawal jam 10 malam. Tak pernah saya tidur seawal itu. Mungkin sebab banyak kali muntah, saya jadi penat. Lepas makan ubat saya terlelap. Kesian Adam.
Makcik Siti yang jagakan Adam semalam.
2.
Dua tiga hari
kebelakangan ini saya selalu fikir. Saya rasa sangat sepi dan kehilangan. Saya
hampir tak mahu memikirkan betapa sunyinya awak kalau satu hari nanti saya tak
ada. Cepat atau lambat saya tetap akan pergi. Pergi yang tak akan kembali.
Dan saya tak
mahu awak habiskan seluruh hidup awak mengenangkan saya. Mengenang tentang
kita. Ia amat pedih. Sepedih belati tajam yang menghiris kulit kita – bagai di
siat-siat. Memikirkan pun saya tak mahu.
Saya tahu dan awak
pun tahu yang awak akan kehilangan saya pada bila-bila masa. Perpisahan bukan
suatu yang menyenangkan. Kita harus sesuaikan diri dengan banyak perkara. Saya
mula memikirkan tentang semua ini saat kita berjauhan.
3.
Saya tahu awak
kuat. Saya masih dan akan terus cuba untuk menjadi kuat. Saya akan terus
cuba melawan. Saya tak nak tinggalkan
awak keseorangan. Saya akan terus cuba bertahan selagi mampu. Saya akan
terus melawan selagi terdaya.
Tapi satu hari
nanti awak terpaksa juga lepaskan saya pergi. Lepaskan segalanya tentang kita. Kalau
saya tak dapat bertahan hingga kita menjadi tua, saya harap awak tak habiskan
usia tua awak keseorangan.
Awak perlu teruskan
hidup. Melihat awak bahagia menjadikan saya bertambah bahagia. Saya tahu saya
tak banyak berikan awak senyuman. Hidup dengan orang sakit banyak menitiskan
air mata. Terima kasih sebab selalu ada dengan saya.
4.
Saya tahu kita
tak selalu okey. Selalu juga timbul masalah. Banyaknya di sebabkan saya. Dan
selalunya awak yang banyak terkena tempiasnya. Tapi awak masih terus sayangkan
saya. Sayangkan saya tanpa jemu sungguhpun banyak kali saya lukakan hati awak.
Saya tak dapat
undurkan masa. Saya tak dapat perbaiki segala sikap buruk saya terhadap awak.
Saya tak dapat tebus. Saya cuma harap awak maafkan saya dan terus sayang saya
dengan segala sifat buruk yang saya miliki. Dan saya harap awak bahagia dengan
saya.
Tak kiralah
berapa lama masa berlalu, kasih sayang saya masih sama seperti dulu.
5.
Anak Cina main gelombang,
Nampak dari Tanjung Jati,
Puan umpama bunga yang kembang,
Sentiasa hidup di dalam hati.
xoxo