Wednesday, December 26, 2012

Love


I have fallen in love many times…always with you…

Tuesday, December 18, 2012

Alpa

Ini cara saya menipu diri. Dengan membuat kerja, saya jadi alpa pada sakit, kononnya. Sebernarnya, lebih kuat terasa sakit di kepala dan seluruh badan - lebih kuat saya bekerja. 

Itu cara saya menipu minda. 

Monday, December 10, 2012

Pengajaran


1.

Seperti hari Ahad yang lain, hari ini saya berkongsi seorang lagi tokoh kebanggaan ramai dengan anak-anak. Tokoh hari ini ialah Che Guvera. Subjek tentang ketokohan ini telah lama saya ajarkan. Bermula dengan latar belakang, persekitaran pendidikan, sumbangan serta jatuh bangun mereka dalam perjuangan.

Pernah sekali, ketika Umar masih kecil dia menegur saya. Katanya, saya hanya kenalkan dia dengan tokoh-tokoh bukan Islam. Bagaimana dengan tokoh-tokoh Islam yang berjuang menentang kezaliman, ketidakadilan pemerintah, hak asasi yang terabai dan sebagainya.

Saya jadi terpukul dan baru sedar bahawa saya berat sebelah dalam menyampaikan ilmu. Saya lupa bahawa orang-orang Islam mempunyai banyak tokoh yang di kagumi ramai seperti Salehuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fatih, Saidina Ali dan ramai lagi. Dengan perasaan malu, saya katakan bahawa saya tidak begitu mengenai tokoh-tokoh ini – sekadar mengetahui nama-nama mereka tetapi tidak lancar mengetahui perjalanan perjuangan yang mereka kibarkan.

Saya jadi malu amat. Langsung, dari situ saya kembali membuka buku, mencari maklumat mengenai beberapa tokoh yang telah tercatat sebagai pejuang agung – tidak kiralah dari zaman mana sekalipun. Kemudian, saya susun mengikut rentetan.

Itu pelajaran pertama dari Umar. Teguran yang membuat saya banyak berfikir tentang ketidakpedulian saya terhadap para pejuang Islam dan di mana saya letakan para pejuang ini dalam hati dan sanubari saya.


2.

Saya akan tidurkan Umar setiap malam. Umar mempunyai masalah tidur tidak lama dulu. Saya bacakan kisah-kisah dongeng tetapi dia seakan-akan tidak suka hinggalah saya bacakan kisah-kisah nabi. Sampai sekarang, dia sangat akrab dengan kisah para rasul. Dia masih mengulang baca hinggalah buku tersebut jadi teramat lusuh.

Pada suatu malam, dia bertanya saya satu soalan yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Dalam keadaan yang masih pekat pelatnya, dia cuba menyampaikan makna untuk saya fahami. Serba sedikit, inilah yang dia katakan pada saya.

Umar: Daddy, macam mana olang boleh tidur lena bila dia tahu ada olang lain tak ada makan, tak ada lumah, tak ada luit. Macam mana olang boleh jalan jauh-jauh, ada olang susuh dia tak tolong? Macam mana ada olang makan banyak-banyak tapi dia tak tetian tekat tucing lapar? Tenapa kita cakap kita tetian tapi kita tak tolong? Tenapa kita kena halap olang lain tolong olang shusah? Adik tak boleh tidur lama-lama (lena). Adik tetian tucing tak makan, adik tetian olang mati tak ada makanan masa pelang, adik tetian lamai orang shusah.

Saat itu, mata saya basah. Saya tepukul amat. Bagaimana anak kecil ini amat fikirkan orang lain hinggakan tak boleh tidur.  

Saya membesar sebagai seorang yang prihatin tetapi sifat itu hilang bila saya sibuk dengan kuliah dan tesis. Sifat itu bertambah pudar bila saya tubuhkan perniagaan seawal usia 21 tahun. Saya sibuk dengan mesyuarat sana sini, penyelidikan yang pelbagai, menyelia projek pelajar, merancang pelbagai rancangan untuk meningkatkan jualan dan sebagainya.

Lama-lama sifat kepedulian itu hilang hinggalah Umar mengingatkan saya tentang hal ini. Sebagai seorang ayah, saya rasa malu. Saya tak dapat menjadi ikon dan contoh kepada anak-anak. Saya cuba menyemai mereka dengan nilai murni sedangkan saya sendiri tak cuba lakukan secara praktik.


3.

Atas rasa itu, saya tak pernah menghalang anak-anak dari berniaga walaupun hati saya amat berat izinkan mereka buat kerja-kerja sebegini. Saya rasa mereka terlalu mentah hingga saya sendiri sedar saya tak boleh perkecilkan semangat mereka.

Saya harus jadi pendorong bukan melemahkan. Saya mahu mereka membesar dan jadi insan lebih baik dari saya. Lebih bersikap peduli, prihatin, saling menolong dan mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi.


4.

Jika Umar tidak mampu tidur lena memikirkan tentang orang lain, bagaimana kita orang dewasa mampu tidur lena dan habiskan banyak masa dengan membuat perkara yang tidak memberi faedah kepada nusa dan bangsa?


5.

Daddy bangga punya anak seperti Umar, Huda & Adam. Tentu sekali daddy bangga. 

Sunday, December 09, 2012

[17]


1.

Umar dan Huda sudah balik dari kembara pancuan empat roda meredah laluan sukar. Mereka ke Pahang bersama Don (dan kawan-kawannya). Umar paling teruja! Dia bawa banyak barang. Umar juga sempat menjual sandwich dan Maggie.

Umar bawa  dua beg besar di penuhi katil dan buaian askar, pelita, kasut dua pasang, sandal dua pasang, baju, seluar, topi, masing-masing tiga style yang berbeza.

Macam nak pergi makan angin!


2.

Umar juga bawa kicap, sos (tomato dan cili), gula, susu, garam, kunyit, lada hitam dan macam-macam lagi. Umar letakkan dalam bekas yang kecil. Bila sampai rumah semalam, baru Huda bagitahu yang Umar berniaga sandwich dan Maggie. Patutlah Makcik Siti beritahu Maggie, roti dan tuna ‘hilang’.

Huda: Daddy nak tau tak...adik jual sandwich. RM 1.50 satu.
Daddy: Daddy dah agak dah. Umar tak senonohlah.
Umar: Adik cali luit. Kakak tengki.
Huda: Adik jual air panas tau daddy.
Daddy: Air panas pun jual juga. Kenapa tak sedekah je. 
Huda: Untuk masak Maggie. Kalau tak ada air panas RM 1.50. Ada air panas tambah RM 0.60.
Daddy: Umar jual apa lagi? Isk! Tak baik jual mahal-mahal.
Umar: Adik jual mulah je. Halge berpatutan.
Daddy: Air panas pun Umar caj mahal je.
Umar: Tebab dalam hutan tak ada air panas. Adik jual mahal tikit.
Huda: Abang Jo pinjam pisau pun kena bayar RM 0.20 tau daddy.
Daddy: Pisau pun kena bayar? Umar ni... isk!
Umar: Heee adik cali luit.


3.

Memang dahsyatlah Umar menjual sampai nak pinjam pisau pun kena bayar sewa. Hasil kerja gigih Umar menjual ketika konvoi dapatlah sekitar RM 300. Pagi tadi sudah depositkan pada beberapa badan amal termasuk hasil-hasil jualan sebelum ini di beberapa tempat.

Kemungkinan Isnin akan bawa anak-anak ke Big Bad Wolf. Khabarnya, seawal jam 7 pagi keadaan sudah sesak di tempat letak kereta.


4.

Huda & Umar sedang merancang membuat jualan untuk bantu mangsa taufan di Filipina. Saya tidak pasti sama ada Malaysia sudah melancarkan apa-apa tabung bantuan untuk mereka.