Hai Min,
Aku di Singapura hingga esok. Kerja baik-baik saja. Di luar hujan renyai. Aku sedang menghirup kopi. Sekarang jam 1:50 pagi. Langit Singapura mendung —mungkin turut berduka tragedi demi tragedi yang berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini. Aku baru sahaja tahu tentang kejadian seorang pelajar perempuan maut di tikam di SMK Bandar Utama 4. Mangsa berusia 16 tahun manakala suspek berusia 14 tahun. Kata Ara, pelbagai versi cerita muncul, tetapi yang nyata - pihak polis menyangkal dakwaan tertuduh meluahkan perasaan kepada mangsa sehari sebelum kejadian. Pihak polis turut menjumpai nota tulisan tangan suspek — yang merupakan petikan kata-kata dari Death Note berbunyi "Soda boku ga kira da". Satu lagi Zero Day — sebuah filem berdasarkan kisah benar perancangan pembunuhan di sekolah oleh dua orang sahabat. Mereka merakam setiap aktiviti (baca: persiapan) sebelum pembunuhan di lakukan.
Belum reda kes kematian Zara Qairina (kebanyakan peguam cenderung mengatakan mangsa terjun sendiri walaupun pakar patologi tidak memberikan kata akhir berkaitan hal ini kerana menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan), muncul pula kes seorang pelajar perempuan bernama Nur Aisyah yang bersekolah di sebuah sekolah agama di masukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat di buli. Pada tangannya tertulis "Go to hell". Buli bukanlah perkara baru. Sekarang menjadi headline kerana wujudnya media sosial. Sebelum kes bunuh, rakyat Malaysia digemparkan dengan kes rogol bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka. Sudahlah dirogol, dirakam dan disebarkan pula. Sehari selepas itu, kes rogol statutori di Baling, Kedah — 4 orang suspek tetapi suka sama suka. Pihak sekolah memaklumkan kepada bapa pelajar bahawa video anaknya tanpa seurat benang telah bertebaran lalu beliau membuat laporan polis.
Ramai yang salahkan Menteri Pendidikan dan meminta beliau meletak jawatan walhal akar sebenar masalah adalah institusi kekeluargaan yang rapuh. Aku bukanlah mahir dalam mendidik, tetapi berbekalkan pengalaman, aku boleh simpulkan bahawa masalah akhlak anak-anak bermula di rumah sama ada kurangnya perhatian dan kasih sayang atau terlampau dimanjakan. Sesetengah ibu bapa pula bersifat snowflakes dan terlalu melindungi — jika anak mereka di tegur, mereka cepat melatah. Ibu bapa hari ini meletakkan beban mendidik di bahu para guru dan pihak sekolah, tetapi terlupa madrasah pertama anak-anak adalah di rumah. Aku melihat mereka tempang ilmu dan tercari-cari model keibubapaan yang ideal—sesuai digunapakai untuk mendidik anak-anak. Ada juga yang meniru panduan secara membabi-buta dari media sosial.  Sebenarnya, tidak ada satu model keibubapaan yang lengkap dan sempurna untuk semua orang. 
Anak-anak, seperti kata pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Kokurikulum pra-sekolah di Jepun sangat menitikberatkan aspek adab, kebersihan dan perilaku dalam komuniti. Mereka di ajar tentang disiplin dan berakhlak mulia. Ini selaras dengan gagasan Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam The Concept of Education in Islam yang menyimpulkan “The end of education in Islam is to produce a good man”. Pra-sekolah di China lebih kehadapan. Mereka mendidik anak-anak kecil berdikari dengan menerapkan kemahiran kendiri, vokasional serta memupuk minat dalam bidang STEM melalui eksperimen ringkas. Semasa aktiviti di jalankan, anak-anak ini belajar untuk berkerjasama, berkomunikasi dan menyelesaikan konflik sesama rakan sebaya. Begitu juga di Finland. Mereka banyak berinteraksi dengan alam dan belajar di luar bilik darjah. Persamaan antara ketiga-tiganya ialah murid tidak diasak menguasai kemahiran 3M terlalu awal.
Di negara maju, ibu bapa memberikan kepercayaan kepada pihak sekolah untuk mendidik anak-anak malah berganding bahu dengan pihak sekolah untuk membentuk persekitaran pembelajaran yang sihat. Suatu ketika dahulu, Malaysia juga begitu namun kini situasinya sudah banyak berubah. Ibu bapa sering menunding jari meletakkan beban kesalahan ke atas guru terhadap apa jua kesalahan. Terdapat banyak kes ibu bapa membuat aduan SISPAA ke atas guru-guru yang menegur atau mengambil tindakan ke atas pelajar — bahkan ada pengetua dipaksa memohon maaf di balai polis kerana mendenda pelajar. Terbaru, dua orang guru iaitu Choong Kean Beng dan Lau Teik Hwa di hadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas pertuduhan merotan seorang pelajar sehingga menyebabkan kecederaan dan berdepan risiko penjara serta kehilangan pencen. Satu masa dahulu, masyarakat memandang tinggi profesion sebagai pendidik — sekarang tidak lagi. 
Salah satu sebabnya ialah kualiti guru-guru yang semakin merosot. Ramai memilih bidang ini bukan kerana minat, tetapi kerana kestabilan pekerjaan dan tangga gaji. Status guru mudah di lihat berdasarkan material terutamanya kereta yang mereka pandu — Honda —memandunya merupakan satu kebanggaan. Malaysia harus belajar memartabatkan kerjaya guru seperti di Norway. Di Norway, gaji guru merupakan antara yang paling tinggi dan dikelaskan sebagai kerjaya kelas pertama. Syarat kemasukkan  adalah sangat ketat dan kebanyakan guru memiliki ijazah sarjana atau doktor falsafah. Terdapat dua syarat untuk melahirkan sekolah terbaik iaitu — pertama, kualiti graduan pendidikan haruslah di kawal seperti di Norway dan kedua, silibus graduan perlu dikemaskini seiring perubahan zaman. Program seperti DPLI dan KPLI hendaklah di mansuhkan. Program inilah yang banyak merosakkan sistem pendidikan negara.
Program ini boleh di ibaratkan sebagai tiket pantas untuk graduan yang tidak mendapat pekerjaan selepas graduasi. Tidak sedikit guru yang di serap masuk melalui program DPLI dan KPLI. Lebih parah, sebelum kerajaan PH-BN memegang tampuk kuasa, terdapat satu sistem yang mendapat bantahan iaitu dasar yang membenarkan pemegang ijazah sarjana diserap menjadi guru tanpa menjalani latihan pedagogi. Guru-guru ini bukan sahaja tidak mahir malah mereka tidak minat mengajar! Dasar pendidikan kita sering berubah tanpa penelitian yang tuntas. Bayangkan betapa buruk natijah yang di hadapi oleh pelajar di sekolah apabila pihak yang membuat dasar tidak berfikir secara matang dalam mengetengahkan sesuatu dasar yang tidak diperhalusi sebaik mungkin. Tidak hairanlah pada hari ini kita melihat kelakuan guru-guru di sekolah sebahagiannya tidak mengambarkan peribadi seorang pendidik yang di pandang mulia. 
Tugas guru hanyalah di sekolah sementelahan pembentukan akhlak berlaku di rumah. Ibu bapa ialah cerminan pertama anak-anak. Ibu bapa adalah role model anak-anak yang pertama. Asuhlah mereka dengan kelembutan, sering memberi nasihat dan tunjuk ajar serta menunjukkan tauladan yang baik. Banyakkan berbual dan bermain dengan mereka berbanding leka menatal telefon bimbit. Ibu bapa harus meluangkan masa  berkualiti dengan anak-anak melalui makan bersama atau menonton cerita, ajarkan tentang tanggungjawab dan disiplin serta kaedah menghadapi tekanan, penolakan atau pergolakan secara berhemah dan matang. Gunakan rotan atau berikan amaran jika perlu. Mereka perlu tahu batas perbuatan mereka dan kesan buruknya kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Ibu bapalah harus memainkan peranan dalam membentuk peribadi dan tingkahlaku anak-anak. Apa yang di semai, itulah yang di tuai. 
Semoga Min baik-baik sahaja walau dimana pun berada…
Singapura,
18 Oktober 2025