Wednesday, June 25, 2025

"Kita dah rosakkan holiday acam selalu kita buat"
"Taklah. Mana ada. Tu kan dah lama dulu"
"Semalam tu mmmm…sorry…"
"Kalau tahu mesti Ara tak bagi abang tengok, kan?"
"Ha'a"
"Jangan salahkan diri"

-

Semalam, sebelum tidur, Ara menonton sebuah video pendek. Aku berbaring di sebelahnya—ingin menonton bersama. Kisahnya tentang seorang lelaki yang ditinggalkan kekasih kerana tidak mempunyai kerjaya dan kewangan yang stabil. Setelah berpisah, lelaki ini bekerja keras—tanpa jemu, tanpa henti. Akhirnya, dia berjaya. Dalam salah satu babak, lelaki itu pengsan akibat keletihan dan dikejarkan ke hospital. Di wad, dia disapa seorang doktor muda—senyuman manis, mata tenang, tutur lembut. Sesuatu yang jarang ditemui. Lelaki itu jatuh cinta.

Selepas keluar dari hospital, dia mendapati bekas kekasihnya berada di rumah—ingin kembali menjalin hubungan. Namun, dia menolak. Perasaannya telah berubah. Dia segera ke hospital, menemui doktor tersebut dan dengan tenang bertanya, "Pukul berapa syif awak berakhir?". Lalu dia mengajak perempuan itu keluar. Cerita pun tamat. Aku diam, pura-pura tidak terkesan dan cuba mengabaikan. Ara rasa bersalah walaupun itu bukanlah salah dia. Dia tak tahu jalan cerita. Kalau tahu tentu dia tak benarkan aku menonton bersama. 


Suva, Fiji
24-06-2025