Thursday, August 08, 2024

Aku yang bersalah

Seminggu sudah berlalu. Ara masih belum jawab panggilan mahupun balas pesanan. Masih cuba berkomunikasi tapi gagal.

Bonda hantar mesej tapi tak balas. Fikiran kusut. Habis kerja jam 10 malam. Kembar sudah tidur. Mujurlah.

Bersihkan diri. Tidur jam 11:30 malam. Terjaga 2.10 pagi. Luqman menangis. Bancuh susu, Luqman sambung tidur.

Keluar jogging. Balik lapar. Sehari tak makan. Perut pedih. Sahur kurma 3 biji dan air kosong. Masih sakit perut.

Selepas Subuh semak kerja. Masih ada urusan yang perlu di selesaikan hari ini. Semalam tidak berjalan baik.

Matahari terbit. Hati meronta-ronta ingin balik ke KL Fikiran sedikit tenang mungkin sebab kerap menulis.

Terimbau hujung minggu bersama Ara di sini beberapa bulan lepas. Musim bunga. Central Park sangat cantik. Ara suka sangat.

Berjalan bergandingan tangan di waktu malam. Ara paut lengan - erat, seakan tak mahu lepas. Mesra, gembira, bahagia.

Satu yang di pelajari, perlu tahan / kawal apa yang kita mahukan kalau ia memudaratkan. Sudah terhantuk baru tergadah.

Sekarang, semua orang sakit hati. Perkahwinan mungkin runtuh bukan saja aku, mungkin dia juga. Kehidupan pasti berubah. 

Tiada siapa yang bahagia
Tiada siapa yang gembira
Semua orang derita
Semua orang sengsara

Semuanya sebab aku yang gagal menahan hati. Aku orang yang ada prinsip tapi aku campak ke tepi demi hati.

Hancur semuanya
Hidup anak-anak aku
Hidup anak-anak dia
Hidup isteri aku
Hidup suami dia

Pandangan
Keluarga sendiri
Keluarga mertua
Adik-beradik sendiri
Ipar, biras, sepupu
Kenalan, rakan sekerja
Masyarakat

Bukan tak tahu, tahu. Tahu dosa, tahu pahala. Tahu buruk akibat tapi berharap Tuhan akan tutup segalanya.

Berharap di beri sedikit lagi masa agar kerinduan ini dapat di hapuskan. Ingin pergi bila sudah tiba waktunya.

Tuhan kurniakan akal tapi pilih hati. Lebih dari derita menanggung rindu adalah menanggung rasa bersalah.