Min,
Minggu lepas setiap malam aku mimpi buruk - bangun terkejut tapi aku tak call Ara. Aku tak nak susahkan dia. Dia penat jaga kembar demam. Dia tak tahu pun aku bangun terkejut - dada dan kepala aku sakit sangat. Dalam minggu itu juga aku cirit-birit sepanjang minggu dan Ara tak tahu. Lesu jadinya.
Minggu lepas, hari Asyura jatuh pada hari Selasa. Isninnya aku puasa Tasau', Rabu pula Ahada 'A-syara, Khamis puasa sunat, Jumaat hingga Ahad puasa Ayyamul Bidh, Isnin sambung puasa sunat. Hari Selasa barulah tak keluar masuk tandas. Esoknya aku balik Costa Rica. Penerbangan transit di Panama - sejam lebih.
Aku sampai lapangan terbang jam 4 petang. Sampai di rumah 50 minit kemudian. Jalan tak begitu sesak. Cuaca tak begitu panas. Anak-anak sedang mandi di kolam ketika aku sampai. Nampak saja kelibat aku, semuanya nak keluar dari kolam. Anak aku pandai berenang sebelum pandai berjalan. Hebat, kan?
Aku masuk rumah, Ara di dapur sedang siapkan minum petang - Earl grey tea, cookies, dan ubi goreng. Aku naik atas, letak beg, masuk bilik - sejuk. Ara sudah hidupkan penghawa dingin dan air freshener perfume. Pakaian sudah tersedia di atas katil - kain pelikat berwarna ungu bersama t-shirt roundneck.
Aku masuk bilik air, sudah tersedia tuala dan bathrobe juga muzik iringan. Aku terlelap hampir satu jam. Kalau tak kerana Ara kejutkan, memang tak sedar tertidur. Mungkin kerana terlalu lama menunggu untuk minum petang tapi aku tak muncul jadi dia naik ke tingkat atas mencari aku. Aku tertidur dalam jakuzi.
Ketika Ara kejutkan, senja sudah berlabuh. Aku bersiap untuk solat Maghrib dan ajar anak mengaji. Selepas Isyak, makan bersama anak-anak sambil bercerita hal sekolah. Kemudian aku tidurkan kembar. Aku bacakan puisi untuk kembar. Selain kisah nabi dan cerita tauladan, aku suka bacakan puisi untuk anak.
Aku bukan nak menulis sangat sebenarnya. Awal pagi tadi ketika membaca aku terjumpa kutipan kata-kata Hemingway jadi aku teringat sepuluh tahun dulu di Paris. Eropah sudah di penuhi imigran. Agak celaru landskapnya. Aku lebih suka Eropah yang dulu. Rindu zaman muda. Min apa khabar? Sudah balik?
“If you are lucky enough to have lived in Paris as a young man, then wherever you go for the rest of your life, it stays with you, for Paris is a moveable feast.”
(Julai 27, 2024)