Aku sampai rumah 12:45 pagi. Sebelumnya ke Bandar Sunsuria. Turun dari pesawat terus saja ke Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA untuk solat Maghrib. Hari Rabu, jadual dia di Sepang. Katanya, bulan ini terakhir kerana dia tak mahu lagi memandu - jauh. Aku tak pernah ke sana. Dia bercerita tentang jalan raya yang semakin besar dan melebar Dia menyebut beberapa nama tempat yang aku sendiri tidak lagi familiar. Aku sudah lama tidak ke Sepang.
Aku masih belum habis business trip. Sepatutnya ke Jepun tapi sewaktu di Hong Kong, Jepun mengeluarkan amaran tsunami mega kerana Taufan Ampil. Banyak penerbangan domestik dan antarabangsa di batalkan termasuklah penerbangan aku. Aku ambil keputusan balik ke KL untuk bawa anak-anak berjumpa ibu mereka. Aku tahu Ara juga rindukan kembar. Perancangannya tidaklah lama kerana masih ada kerja belum selesai.
Mertua yang baik hati faham yang aku selalu sibuk. Bonda rindu cucu. Dia minta aku tinggalkan kembar dengan dia. Dia kata aku nampak penat dengan mata yang sedikit lebam. Aku sampai dari Hong Kong 7:15 malam -terus saja ke PR untuk mandikan dan beri anak-anak makan. Mujurlah mereka tak meragam. Aku bergerak ke Hartamas jam 10 malam. Niat cuma ingin hantar anak-anak tapi Bonda ajak masuk ke rumah.
Aku keberatan pada mulanya. Ara masih belum balik. Dia tak tahu pun aku datang. Bonda hidang nasi tapi aku tak ada selera. Aku naik atas, masuk bilik Ara. Ada beberapa helai baju di atas lantai. Aku kutip semuanya, asingkan dan letak di dalam bakul. Aku bawa ke bawah untuk di cuci - tak banyak sangat pun. Aku naik semula ke bilik - kemas barang atas meja, susun pakaian, kemaskan katil dan vacuum. Aku masuk bilik air - bersih.
Habis kemas bilik, aku bersihkan diri kemudian bersiap. Aku turun bawah tunggu Ara balik. Ara balik hampir jam 12. Ara masuk rumah, aku ajak dia makan tapi dia tak nak. Dia naik atas - masuk bilik kembar. Kembar sudah tidur. Ara masuk bilik, aku ikut. Aku cuba berbasa-basi tapi dia buat tak tahu saja. Aku masuk bilik dan cuba tidur. Jam 2:30 pagi aku masih tak dapat tidur. Aku keluar dan masuk bilik Ara. Aku duduk di birai katil - dia tidur lena.
Ara terjaga. Aku cakap aku nak tumpang tidur sekejab sebab mata tak mahu lelap. Aku tidur bawah - atas karpet. Aku keluar bilik ambil AirPods. Bila aku masuk, Ara sedang pegang phone aku. Aku tak tahu apa yang dia tengok. Tiba-tiba dia marah. Dia suruh aku keluar tapi aku tak nak jadi kami bergaduh. Aku diam. Aku dengar setiap apa yang Ara cakap. Paling aku ingat "I can love you and still let you go." Pilu hati mendengarnya.
Ara menangis teresak-esak. Aku cuba tenangkan tapi dia menolak. Aku teman Ara hingga dia berhenti menangis. Dia terlelap. Penat menangis agaknya. Bila dia tertidur, aku pun tidur. Aku sedih lihat dia sedih. Dia merasakan dirinya tidak mencapai standard yang aku inginkan. Dia merasakan dirinya gagal menjadi yang terbaik. Tak ada manusia yang sempurna. Kata John Steinbeck, "We are as God made us, and the gods are not perfect."
Esoknya, aku ke Seibu, TRX. Aku harap Ara suka hadiah yang aku belikan. Kemudian aku singgah MPH. MPH TRX merupakan cawangan terbesar di Malaysia. Ruang pamernya sangat luas. Ini bikin aku sangat teruja dengan konsep susun latar yang lebih segar dan moden. Pilihan bukunya yang banyak benar-benar buat aku merinding ketika mengitari mencari buku yang sesuai di beli. Pelaburan kali ini nampaknya sangat berbaloi.
Aku beli beberapa buah buku untuk Ara - pelbagai tema dari jenayah (pastinya), psikologi, sejarah dan karya tempatan. Aku suka beli buku dalam bahasa Melayu. Sekarang sudah banyak penerbit mandiri tetapi genre buku masih belum ada kepelbagaian. Buku dalam bahasa Melayu banyak yang bermutu tinggi bukan semuanya sampah tetapi memerlukan lebih banyak penambahbaikan dari segi persembahan dan kandungan.
Ada beberapa hal yang aku tak suka dengan buku Melayu terutamanya karya pop. Penulis berlumba-lumba menulis kisah lelaki kacak yang jahat merogol perempuan dan di paksa berkahwin. Jalan cerita kahwin paksa ini sudah tepu tetapi masih popular. Terdapat sesetengah novel, adegan ranjangnya sangat melampaui batas. Terkini, karya Anjell berjudul Lelaki Astatine menjadi perdebatan kerana mempromosikan soft sex.
Novel ini di cetak 80,000 naskah sempena PBAKL dan habis terjual. Kalangan pembacanya adalah murid sekolah rendah. Ini menimbulkan suasana tidak nyaman buat ibu bapa dan kalangan pendidik. Penulis pula perempuan berniqab dan masih belum bernikah. Aksi panasnya hebat. Anjell merupakan penulis terkenal. Buah tangannya laris seperti pisang goreng panas dan sentiasa mendapat permintaan ramai terutama pembaca muda.
Idea serong yang di cambahkan perlulah berpada-pada kerana pena seorang penulis boleh mempengaruhi pemikiran pembacanya. Terdapat satu dapatan tidak rasmi mengatakan bahawa perempuan sekarang cenderung menyukai bad boy. Sesudah berkahwin dan di sepak terajang barulah sedar realiti tidak seindah fantasi. Penulis perlulah lebih berhati-hati dalam berkarya kerana tahap pemikiran pembaca berbeza-beza.
Rumah Ummi
22-08-2024 / 4:21 pagi