Sunday, August 18, 2024

Kuikat hatimu dengan kalbuku

Abang baru balik dari solat Jumaat. Abang pergi dapur, makanan sudah tersedia di atas meja tapi abang tak ada selera. Semalam abang berbuka dengan roti. Sampai malam abang tak makan. Pagi tadi abang makan roti dengan kopi untuk alas perut. Perut abang pedih - mungkin sebab tak makan. Abang teringin makan nasi kenduri. Kalau Ara ada tentu Ara masakkan untuk abang.

Abang rindu Ara. Rumah sunyi. Abang tercari-cari bunyi rantai kaki tapi tak ada. Abang masuk bilik Ara. Semua fail tersusun rapi. Tak ada barang bersepah di atas meja. Lantai pun bersih - mungkin Ara sudah vacuum sebelum balik. Dari cara Ara kemas nampaknya seperti lama Ara akan tinggalkan abang. Abang minta maaf buat Ara marah. Abang tak ada niat untuk lukakan hati Ara.

Ara tanya "Kenapa abang tak marah?" bila lihat bakul pakaian yang penuh di bilik mandi. Tak ada sekelumit amarah dalam hati abang. Sepanjang di Brazil, abang jaga emosi  supaya mood abang stabil bila  balik nanti. Sehari sebelum balik, mood abang tak begitu baik tapi abang tak hiraukan sangat. Abang ke Brazil untuk tenangkan diri dan tak nak balik dalam keadaan yang sama.

Maaf, abang tak sempat tulis surat ketika di Brazil. Abang tulis sebenarnya tapi tak sempat habiskan. Abang minta maaf buat Ara kecil hati. Memang menjadi kebiasaan abang menulis sepucuk dua surat untuk Ara apabila abang keluar berkerja tapi kali ini abang gagal. Perjalanan antara satu negeri dengan negeri yang lain agak memenatkan dengan jam transit yang panjang.

Ara marahkan abang sebab abang basuhkan baju Ara? Tak, abang tak anggap Ara tak mampu menguruskan hal rumah tangga kita malah abang berterima kasih kerana Ara uruskan semuanya dengan baik sekali. Tanpa Ara tentulah semua urusan tak selancar sekarang. Ara uruskan bil-bil rumah, kemas kini stok makanan kita, dan segala keperluan anak-anak. 

Ya, hal-hal kecil tapi besar maknanya bagi abang. Abang tak mampu uruskan semuanya tanpa bantuan Ara. Ara tahu tak? Abang balik awal dari Brazil sebab abang dapat rasakan emosi Ara tak stabil sejak kes pembunuhan Nur Farah Kartini. Ara cakap "Terlalu empati buat kita terlalu beremosi. Rasa serabut". Kemudian keluar pula keputusan penghakiman Zulfarhan Osman.

Sebelum itu, Ara berkongsi cerita tentang kes kanak-kanak autisme yang mati di bunuh. Kes ini banyak yang tak kena kata Ara. Lebih-lebih lagi apabila peguam yang di lantik menarik diri walaupun terdapat desas-desus mengatakan beliau  sebenarnya di pecat kerana isu etika guaman. Kes-kes yang bertindih ini memberikan kesan sampingan kepada emosi Ara.  Itu yang pasti.

Abang juga faham Ara bersimpati dengan nasib 6 bekas siswa UPNM yang bakal menghadapi hukuman gantung sampai mati akibat membuli jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan. Media mengulang semula video lama ketika suspek kelihatan "ceria", ketawa  tanpa secalit wajah penyesalan kerana hukuman yang di berikan amat ringan iaitu penjara 18 tahun.

Abang masih ingat Ara bercerita tentang kes kematian Esha, seorang pempengaruh yang menjadi mangsa buli siber. Tertuduh, setelah mengaku bersalah hanya di kenakan hukuman denda RM 100. Kata Ara, akta tersebut di gubal pada tahun 1950-an dan belum di pinda. Ara geram dengan suspek bernama Shalini yang senyum melirik ketika keluar dari mahkamah.

Abang selalu rasa kesal atas setiap tindakan yang abang ambil. Kadang-kadang abang rasa bersalah rotan anak-anak dengan teruk sewaktu depresi abang di tahap kritikal. Ada orang kata, abang tak segarang itu dengan anak-anak - ya, betul, tapi emosi dan persekitan banyak mempengaruhi abang. Kadang-kadang abang rasa abang bertindak terlalu ganas.

Abang masih ingat Ara takut hingga terketar-ketar bila pertama kali lihat abang marah. Sampai sekarang abang rasa kesal yang amat. Abang minta maaf buat Ara takut. Abang tak nak ulangi kesilapan abang jadi setiap kali kita berselisih faham - abang lebih banyak diamkan diri. Abang takut tersalah / terlepas cakap yang akan buat hati Ara lebih terluka. Berdiam diri lebih baik. 

Abang diam bukan sebab abang tak nak layan Ara. Abang tak nak bertengkar dalam rumah. Abang tak nak pecahkan barang-barang. Abang risau abang hilang kawalan dan angkat tangan pada Ara. Abang cuba elakkan  sesuatu perkara yang tidak di ingini. Kita manusia biasa. Apabila datang amarah, syaitan turut berbisik. Lebih baik diam dari menyesal di kemudian hari. 

Ara tentu tahu abang tak suka rumah bersepah, kain baju berlonggok, lantai berhabuk, meja melekit dan segala macam lagi. Abang mudah naik angin bila lihat rumah tak teratur. Biarlah orang kata rumah seperti muzium sekalipun - itu memang sifat abang. Abang suka rumah yang kemas, teratur dan bersih. Abang tak boleh ubah sifat ini. Abang minta maaf kalau buat Ara stres.

Abang tak pernah suruh Ara buat apa-apa kerja rumah. Kalau Ara tak nak jaga anak pun - abang okey. Tak masak pun tak apa. Abang faham Ara penat. Kadang-kadang, bila abang lihat Ara tidur lena - abang tak sampai hati nak bagi salam. Abang cuba jadi suami yang prihatin dan memahami walaupun abang selalu gagal. Abang minta maaf atas segala kekurangan abang.

Abang tak menginginkan dunia miyabi. Cukuplah wabi-sabi dan segala kekurangan yang kita miliki asalkan kita dapat hidup bersama dan saling melengkapi. Abang ada Ara, Ara ada abang. Bila Ara buat khilaf, abang tegur. Bila abang buat salah, Ara betulkan. Perkara pertama dalam perkahwinan bukanlah cinta tapi ketenangan. Dari ketenanganlaah akan lahirnya mahabbah.

Ara jaga diri. Abang jauh. Kalau jadi apa-apa susah. Ara tenangkan hati, rehat secukupnya, lapangkan fikiran, selalu istighfar, jangan lupa selawat, tidur sepuasnya. Abang tunggu Ara balik. Jangan tinggalkan abang lama-lama (sebab abang lelaki terhangat di pasaran - kalau orang pinang abang macam mana?). Ara balik nanti kita bina hubungan yang lebih baik.

Kata bijak pandai, "For marriage is about divine unity of two, not unity of one". Sama-samalah kita muhasabah diri dan perbaiki kelemahan diri masing-masing. Abang tak nak kehilangan Ara. Abang sayang Ara. Hari ini hujan - sejuk. Abang minum kopi sambil baca buku tapi ingatan abang pada Ara - cantik, jelita, mempersona. Pandang tak jemu. Rindu segala-galanya.…

Kuikat hatimu dengan kalbuku,
Abang


Rumah kita
7 Ogos 2024