Monday, June 17, 2024

Warisan dan tradisi

Ummi,

Kami ziarah 5 buah keluarga hari ini. Seronok mendengar cerita dari zaman kegemilangan Kesultanan Pattani, peperangan merebut wilayah dengan pihak Siam hinggalah tersebarnya orang Melayu Pattani ke Malaysia terutamanya di Perak. Ramai orang Pattani tinggal di Perak. Dari zaman dahulu, mereka ini kaya-raya dan banyak tanah. Mereka tak pandang tanah suku atau setengah ekar. Satu keluarga sekurang-kurangnya memiliki 10-15 ekar tanah. Kegiatan ekonomi utama mereka adalah pertanian.  

Orang tua-tua di sini masih lagi mampu bertutur dalam dialek Melayu-Pattani, sedangkan orang muda kebanyakannya sudah tidak fasih berbahass Melayu. Mereka lebih gemar berbahasa Thai. Di Satun dan Songkhla, mereka tidak mengaku sebagai orang Melayu sebaliknya lebih berbangga berbangsa Thai. Bahasa Melayu Pattani akan pupus sekiranya penuturnya semakin berkurangan. Dialek ini lebih kurang sama dengan loghat Kelantan tetapi berbeza fonologi, suku kata dan lenggok percakapan.

Semalam, Bonda masak rendang ayam hutan. Baru pertama kali makan. Lembut sungguh dagingnya. Bonda masak tak pedas. Perut tak sakit. Sedap sangat. Hari ini Bonda masak tomyam putih. Makan bersama mihun. Ada juga pulut mangga. Malamnya Ara masak sup tulang tapi lupa letak garam. Tentulah Nenda membebel panjang. Nenda suka makan masin walaupun banyak kali di tegah - dia tak endah. Orang tua selalunya degil. Begitulah sifat sejatinya manusia bila sudah meningkat usia.


Jun 17, 2024