Wednesday, June 28, 2017

Masa bersama keluarga

Kalau di buat perbandingan (kerana manusia suka membanding), Bali lebih cantik dan menawan. Bali sungguh sempurna berbanding Lombok. Kata Aladin, dia dan bakal isterinya sengaja memilih Lombok kerana Lombok tidak begitu ramai pengunjung, jalan rayanya tidak banyak kenderaan dan suasananya lebih segar. Kata mereka, Bali sudah terlalu cliché untuk sebuah majlis perkahwinan. Mereka memilih konsep ringkas sahaja. Tetamu yang di jemput hanya ahli keluarga terdekat dan sahabat handai. Di anggarkan sekitar 180 orang sahaja yang hadir pada majlis resepsi jam 8 malam esok. “Majlis sederhana saja, bang” kata Aladin. 

Hampir semua sudah ada. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang belum menampakkan muka. Malam ini akan di adakan majlis doa selamat yang serba ringkas. Selain hari raya, majlis perkahwinanlah yang mempertemukan kami adik-beradik. Keluarga yang besar, masa lapang yang berbeza antara satu sama lain namun kerana komitmen pada keluarga, selalunya korum keluarga penuh. Jarang ahli keluarga tidak menghadirkan diri. Ketika majlis inilah pelbagai cerita (selalunya gosip) meliar di sana sini. Ketika inilah masing-masing “mengemaskan data peribadi” kepada ahli keluarga yang lain.

Sempat berbual ringkas dengan Ocio tentang geografi kediaman barunya di Jerman. Ocio sudah berpindah dari Paris, Perancis ke Lüneburg, Jerman. Ocio kata tak ada sebab khusus dia berpindah, sekadar ingin merasai keindahan hidup di tempat baru. Dia masih berkerja sebagai juruterbang, baru sahaja menyambung kontrak untuk 5 tahun lagi. Di waktu lapang, Ocio suka memasak. Katanya, banyak tempahan yang di terima Ramadan lalu. Tak menang tangan menyiapkannya. Ocio pandai masak cookies! Tak hairanlah kalau ramai yang membuat tempahan. “Cookies abang sado ke Ocio?”. Dia hanya tersenyum. 

Kak Ain sampai lebih kurang jam 5 petang. Banyak yang di carutkan, seperti biasa. Petpet, Arygendut sampai lebih awal. Petpet datang dengan isteri lama, sudah rujuk katanya. Ary datang dengan kedua-dua isterinya. Dengan kehadiran kedua-dua isteri, nampaknya Ary akan jadi ikon poligami yang baru. Tak sangka Ary akan berpologami. Benar, siapa pernah menduga yang Ary akan bernikah dua. “Dia tak jaga makan minum aku. Aku kawin lain. Tak payah pening-pening”. Alasan paling mudah dan ringkas bila di tanya “Apa hal bro kau kawin dua. Bini sikit punya cantik pun tak cukup lagi ke?”. Berpoligami bukannya mudah dan doalah agar saya kekal duduk dalam cinta dengan yang satu sahaja. 

Hari ini semua orang berkumpul dan moleklah kiranya hajat yang sekian lama bertangguh di buat hari ini. Agak malang bila mempunyai keluarga yang besar tapi tak mengenali antara satu sama lain. Anak-anak saudara juga semakin ramai dan ada di antaranya tak pernah kenal apatah lagi mengetahui sedikit-sebanyak latar belakang mereka. Bulan Syawal, pesan arwah Ummi adalah bulan untuk mengeratkan tali siraturrahim yang renggang, mencantumkan yang terputus, memaafkan pada yang buat salah, meminta maaf jika tercacat-cela di sana-sini. Mulai hari ini bolehlah memperluas tali silaturrahim yang tertangguh.

No family is perfect - we argue, we fight. We even stop talking to each other at times, but in the end, family is family. The love will always be there. 

Anonymous




Lombok, Indonesia
7.01 malam