Caravan yang di gunakan dulu ada di rumah Ary. Kalau pergi Ohio jumpa Ary tentu boleh ambil caravan. Sayangnya Malaysia tak benarkan kenderaan seperti caravan berada di atas jalan raya. Jadi semasa pindah dari US ke Ipoh tak bawa caravan bersama-sama. Ary kata caravan masih boleh di gunakan kerana di jaga dengan baik. Cadangnya bila balik Malaysia nanti akan bawa caravan bersama. Dapat letak di garaj pun jadilah. Sekurang-kurangnya ada di depan mata.
Berada di California dan cuaca amat baik sekali. Sewa sebuah van. Pada mulanya bercadang untuk menyewa pajero atau Ford Mustang tapi Umar kata tak sesuai sebab tak nampak seperti dalam misi mengembara. Bawa van lebih relaks sebab tak boleh bawa laju dan dapat lihat pemandangan. Kebiasaannya, anak-anak tak tangkap gambar pemandangan tapi mereka lebih suka menghayati pemandangan. Untuk di rakam di kotak ingatan menurut Umar.
Malam tadi tidur di bawah jambatan. Ambil keputusan untuk beli khemah dan tak menyewa hotel. Pasang khemah - anak-anak ambil masa hingga 2 jam untuk dirikan sebuah khemah dan mereka sangat gembira bila berjaya lakukannya tanpa bantuan daddy. Hidupkan unggun api untuk panggang ayam yang di beli lebih awal di hypermarket. Masak nasi dan hangat air untuk bancuh kopi. Betul-betul dalam suasana pengembaraan. Sebenarnya ini bukan misi pengembaraan pun. Hanya berjalan-jalan untuk ringankan beban perasaan dan melupakan kisah silam.
Petangnya tengok matahari terbenam berlatarkan gunung. Sungguh cantik. Beberapa hari ini bulan di langit kelihatan sangat menawan. Huda ambil peluang lukis pemandangan. Umar kata tak ada yang istimewa kecuali kalau dapat di fotokan dan di jual kepada mereka yang berminat. Adam tak berkelip tengok matahari terbenam. Adam kata cantik macam dalam cerita yang dia selalu tonton. Baik matahari mahupun bulan, kedua-duanya sangat indah untuk di nikmati. Melihat matahari terbenam perlahan-lahan sambil dengar lagu dan minum kopi adalah heaven on earth.
Ayam hangit dan hitam lenggam kerana tertidur semasa panggang ayam dan anak-anak tak kejutkan. Makan dengan anak-anak sambil ketawa sebab ayam yang kami makan berwarna hitam dan rasanya tidak lagi seperti ayam. Mujurlah ada kicap. Makan nasi bersama kicap dan ayam hangus ketika mengembara adalah pengalaman yang menakjubkan kerana kita terpaksa makan apa sahaja untuk mengalas perut supaya bertenaga pada keeseokkan harinya. Bekalan coklat, roti dan tuna masih banyak. Anak-anak makan berdikit-dikit untuk jimatkan perbelanjaan kerana mereka kata orang dalam pengembaraan makan sekadar alasa perut.
Di hentian seterusnya nanti kena basuh baju. Menurut Umar, orang pergi mengembara tak cuci baju di dobi. Nampaknya mereka benar-benar ingin rasai pengalaman mengembara. Selepas ini perlu beli selimut tebal, wayar, dan bulb lampu supaya kawasan perkhemahan lebih terang dan mereka dapat membaca dan menulis dengan lebih selesa. Umar gemar menulis sebelum tidur. Huda akan baca beberapa muka surat sebelum melelapkan mata. Adam suka menonton tv malangnya tv tak ada jadi dia akan mewarna buku lukisannya sebelum tidur.