Thursday, April 23, 2015

3.21 am

Ia bukan satu rutin yang di sukai - membaca kembali catatan-catatan lama secara random. Teringat blog kita yang sudah lupa namanya (Just the Two of Us) rasanya. Link blog langsung tak ingat. Kalau ingat pun tak boleh nak buka. Private.

Membaca dua tiga catatan pendek tahun 2010. Kemudian scroll tahun 2014 – tahun lepas. Bulan April semuanya masih okey. Bulan Mei pun tak ada apa-apa rasanya. Bulan Jun bermula segala-galanya. Tak pasti tarikh yang tepat. Tak pula rajin hendak semak tarikh segala permulaan perbalahan.

Agaknya awak kira tarikh kita mula bertengkar. Ketika awak hantar e-mel, awak kata, sudah enam bulan berlalu. Saya pun tak pasti dan tak berniat untuk kata apa-apa. Masa berlalu sungguh pantas. Sekarang sudah pun hujung April.

Bulan Jun nanti sudah setahun kita berpisah. Perpisahan adalah sesuatu yang paling menakutkan. Dalam hidup saya, kehilangan awak adalah perkara yang paling saya takuti. Tapi kehendak Illahi tak boleh di halang. Sudah tertulis saya akan kehilangan awak dan saya redha.

Sejak awak tak ada, saya lebih banyak mengenal diri. Banyak perkara telah berlaku. Terlampau banyak untuk di catat di kertas yang kecil. Banyak yang saya simpan sendiri dari coretkan di mana-mana. Saya mahu menjadi lelaki dewasa yang lebih matang.

Saya semakin dapat biasakan diri. Hidup saya kembali seperti di zaman ketika saya masih di US dulu. Hidup tanpa telefon dan jadual padat yang terlalu menghimpit. Saya suka zaman itu. Zaman yang mencabar. Zaman yang membuat saya kenal erti cinta dan kasih sayang.

Saya cuma agak sedih bila ahli keluarga saya tak lagi menyebut nama awak. Nama awak semakin hilang, semakin di jauhi. Tak ada siapa yang mahu sebut nama awak lagi seolah-olah awak membuat kesalahan yang cukup besar. Saya mungkin rindu bila Ocio, Kak Ain mahupun Makcik Siti tak lagi bertanya tentang awak. Saya rasa sedih…

Kadang-kadang Ary tanya tentang awak. Saya kata saya tak tahu apa-apa. Memang betul pun saya tak tahu apa-apa perkembangan tentang diri awak. Kita tak pernah berhubung sejak e-mel terakhir dari awak dan saya pun tak berniat untuk hantar e-mel pada awak.

Saya tahu, saya tak mungkin dapat bertemu dengan perempuan garang seperti awak. Saya tak mungkin bertemu dengan seorang perempuan yang ada sifat-sifat seperti awak. Sifat-sifat yang buat saya selalu kagum dengan awak, bertambah sayang dengan awak.

Ia agak sedih dan tragik. Awak cinta pertama saya dan kita terkandas di tengah jalan. Sekarang jam 3.03 pagi dan saya teringat pertama kali saya call awak dengan penuh debar di dada sebelum kita berbual seolah-olah kita kenal lebih dari sepuluh tahun.

Selamat malam, sayang. Tidur lena. Mimpi yang indah-indah.
_ _ _

A first love always occupies a special place – Lee Konitz