Thursday, April 18, 2013

4.04am


1.

Tiba-tiba Umar berbaik dengan Adam. Umar ajak Adam main, belanja Adam ais krim (Adam ambil kesempatan minta ais krim paling mahal dan ajaibnya Umar tak marah pun), lapkan mulut Adam (Umar tak suka adik dia comot) dan tengok TV sama-sama.

Perkembangan yang sihat. Masih mushkil kalau-kalau Umar ada agenda lain memandangkan Umar agak licik pemikirannya. Umar suka kenakan Adam. Umar jarang melakukan sesuatu perkara tanpa sebarang niat.

Umar tak kenakan Adam. Lega.


2.

Aiman datang rumah semalam dalam keadaan serabai dan berbau hapak. Katanya sudah dua minggu dia balik dari Jepun. Dia rindukan Adam. Aiman tak hadirkan diri di mahkamah untuk bicarakan kes penjagaan Adam. Kes di anggap selesai di luar mahkamah.

Tak pasti sama ada Aiman datang untuk ambil Adam atau sekadar melawat. Umar nampaknya tak begitu selesa dengan kehadiran Aiman. Umar takut Aiman ambil Adam.

Jujurnya, kalau Aiman berniat untuk ambil Adam kembali kali ini, rasanya biarlah Aiman ambil. Tak ada ayah dalam dunia ini yang tak sayangkan anak dia. Rasa berdosa juga kerana panjangkan kes ke mahkamah dulu. Kasih sayang seorang anak tak dapat di pisahkan daripada ayahnya.


3.

Adam seperti tak begitu mengenali Aiman. Dia seakan enggan bermesra dengan Aiman. Bila Aiman ajak dia bermain pun dia tak nak. Seperti biasa, jam 2 pagi dia akan bangun dan minta susu. Adam akan tidur dengan daddy sampai Subuh. Selalunya Adam tak tidur. Adam akan ajak daddy main lego, bacakan dia buku atau paling mudah menonton TV. 

Tentulah kalau Adam tak mahu tinggal dengan Aiman tak ada sesiapa boleh paksa Adam untuk lakukanny. Perasaan Adam perlu fikirkan juga. Semuanya untuk kebaikan Adam. Kalau Aiman hendak ambil Adam semula – tak ada perkataan lain untuk tenangkan hati selain redha. Sebenarnya, dalam hati berharap juga agar Adam tak ke mana-mana.

Daddy sayang Adam. Daddy tahu Adam pun sayang daddy. Adam tak boleh tidur kalau daddy tak ada. Adam akan ambilkan tuala bila daddy batuk. Adam akan peluk dan temankan daddy bila daddy tak larat. Daddy tahu Adam sayangkan daddy.


4.

Hari ini kita dapat bercakap lebih kurang 10 minit sebelum awak masuk tidur. Seperti biasa, rindu saya masih berbekas. Sampai bila-bila pun rindu saya tak akan habis. 

Selamat pagi, sayang. Selamat bekerja seikhlas hati.