1.
Bosan. Mungkin
saja sunyi bila semua kerja telah di siapkan. Masa untuk berehat sebenarnya
tapi badan tak mampu berehat sepanjang hari tanpa buat apa-apa kerja. Mood
untuk membaca langsung tak ada. Mungkin kerana mata tak mampu lagi lihat font kecil pada buku. Kaca mata sudah
tidak banyak membantu. Mata bukan sahaja pedih dan kabur tetapi semakin blur.
Ada banyak buku
yang hendak di hadam. Tapi tak mungkin dapat habiskan bacaan dengan cepat. Bila
banyak masa senggang, tak banyak pula forum di adakan. Minggu lepas tak berpeluang menghadiri beberapa forum
menarik antaranya GE 13 and Future of Malaysian Universities yang bertempat di
UM pada 15 Mac lepas. Saya amat kecewa kerana tak berpeluang menghadiri forum
menarik anjuran IRF bertajuk Islam without Sectarianism pada 10 Mac lepas di
Hotel Renaissance.
Saya terlupa ada
public talk bertajuk Religion and
Secularization in United States oleh Prof. Dr. Jeffrey T. Kenney pada 19 Mac
bertempat di Bilik Senat UKM. Harapnya nanti dapat hadirkan diri di Penang
untuk mendengar forum bertajuk After GE 13, No Matter Who Wins, Where to
Malaysia? pada 23 Mac ini. Lewat minggu-minggu sebelum ini amat sibuk.
Menghabiskan banyak masa di Sarawak dan Brunei.
2.
Hidup tak lagi
mengujakan. Sejak pulang dari Brunei, langsung tak keluar rumah selain ke
hospital untuk pemeriksaan dan dialisis dan sekali dua ke padang permainan
untuk lebih kurang 35 minit. Tak lagi merasa selesa untuk bertemu dengan manusia
lain. Mungkin kerana terlalu menjadi perhatian. Mungkin juga tidak selesa
dengan perasaan simpati orang ramai.
Mungkin juga
semakin tidak selesa apabila sudah tidak mampu bertutur dengan baik. Di kesani
ada beberapa perkataan dan struktur ayat gagal di ucapkan. Kadangkala perlu
ucapkan hampir 4 kali sebelum mampu bertutur dalam ayat yang lengkap. Dengan
fizikal sebegini, pertuturan yang semakin buruk serta mata yang kabur tidak
memungkinkan untuk keluar dan bertemu dengan orang ramai.
3.
Mungkin juga
saya sunyi. Dan saya tak menyalahkan kerjaya yang awak pilih. Itu cinta pertama
awak. Kesibukan selalunya menghilangkan kesunyian. Saya pasti penat jika
bekerja seperti orang gila yang normal tapi saya suka dengan apa yang saya
buat. Kesibukan akan mengurangkan sedikit rindu.
Sejak awak
bekerja, saya rasa kita hanya berpeluang untuk bercakap kurang dari sejam.
Kadang-kadang hanya setengah jam, ada juga hanya 15 minit. Saya tak teruja
untuk bercerita kerana saya tahu awak penat. Awak bukan tak mahu melayan saya
tapi badan awak perlukan rehat. Mungkin saja saya pernah beberapa kali kecil
hati – awak menguap ketika saya baru mula berkongsi cerita.
Tapi saya faham
bukan itu yang awak mahukan. Saya tak pernah salahkan awak dan kerjaya yang
awak pilih. Jadi sekarang tentulah awak tahu kenapa saya suka paksakan diri
untuk laksanakan apa-apa kerja. Saya tak mahu merasa kesunyian. Kesunyian
membunuh jiwa saya. Dan saya akan mula fikir tentang banyak perkara dan
seterusnya saya akan mula stress.
4.
Sehingga habis
minggu ini saya memang tak ada apa-apa kerja. Saya mulai sibuk pada minggu
depan dan minggu-minggu seterusnya. Bulan April nanti saya perlu ke Vietnam
selama 3 hari seterusnya ke Zurich, New York, dan Sweden. Jadual kerja saya
agak padat. Saya masih belum lihat jadual sepenuhnya. Sekadar melihat sepintas
lalu.
Doktor tak
benarkan saya paksa tubuh untuk bekerja.
5.
Sekarang baru
pukul 2.50 pagi. Beberapa hari kebelakangan ini saya tak tidur langsung. Ketika
awak tidur saya habiskan masa di bilik kerja, kadang-kadang mengintai langit
dan temankan Adam bila dia terjaga dari lena. Mungkin hari Jumaat ini bila awak
bercuti awak boleh teman saya lihat langit malam. Saya suka langit waktu
sebegini. Tapi saya tahu, tentunya awak tak mampu menahan kantuk. Awak biasanya
tidur awal. Lagipun awak perlukan rehat yang cukup setelah seharian di
hospital.
Semalam dan hari
ini saya tak makan ubat. Saya cuma makan sekali sehari dan bila malam perut
saya berkeroncong. Saya tak mahu makan ubat. Saya perlu makan sebelum makan
ubat. Bila makan, pastilah muntah. Hari ini saya kurang muntah cuma batuk
berdarah. Macam biasa, 4 kali pengsan. Sekali di waktu pagi, sekali pada tengah
hari dan dua kali di waktu petang.
6.
Mungkin sahaja
saya perlukan kawan untuk berbual.