Sunday, March 10, 2013

Malam ini saya cuma mahu baring diam-diam dengan awak.

1.

Badan masih penat. Penat yang melampau. Baru sampai dari Brunei. Sebelumnya ke Sarawak. Bila penat melampau badan makin sakit dan susut kerana kurang rehat, makan tidak menentu dan tidur ala kadar. Mungkin sahaja kerana menafikan diri sakit – masih teruskan hidup seperti manusia normal walaupun hakikatnya tidak.

Tuntutan hidup makin mendesak. Perlu kerja untuk mendapatkan sesuap nasi walaupun kesihatan seringkali tak beri peluang untuk jalani hidup seadanya. Kerja selalu menjadikan manusia bukan dirinya yang sebenar. Tapi manusia perlu bekerja kerana pada zaman ini - ringgit merupakan nilai utama.


2.

Sayang, saya kira kita tak punya banyak masa bersama kerana tiba-tiba saya menjadi semakin sibuk. Awak tentulah lebih sibuk lagi. Keluar rumah jam 6.30 pagi dan pulang kira-kira 12.00 malam. Kemudian mandi kadangkala tidak dan seterusnya tidur. Selepas itu bangun semula, pergi kerja dan rutin yang sama berputar.

Saya memahami kenapa awak sangat stress dengan kerja yang berat, mengambil banyak masa dan kudrat. Kadangkala saya tak sampai hati lihat awak menangis akibat penat (dan stres). Dan saya tak cuba tenangkan awak supaya berhenti menangis. Saya lebih suka awak menangis supaya awak tak pendamkan segalanya.

Kerjaya awak tak langsung menjarakkan kira seperti yang saya jangka cuma kita kurang masa untuk di nikmati bersama. Hakikatnya, kita semakin erat dan menghargai masa lapang.


3.

Minggu ini saya tidak akan ke mana-mana. Saya perlu berehat. Esok, seperti biasa saya akan ke hospital untuk pemeriksaan. Sudah 2 minggu saya tangguhkan. Berat badan saya turun lagi. Agaknya nanti badan saya cuma ada tulang dan kulit...

Saya juga perlu pergi dialisis. Kalau saya larat, esok nak bawa anak-anak ke Perpustakaan Negeri. Lama tak ke sana.


4.

Malam ini saya cuma mahu baring diam-diam dengan awak.