Tuesday, March 12, 2013

Lelaki, jangan bermimpi akan tenang tanpa wanita di sisi.


1.

Saya kira seorang lelaki inginkan seorang wanita yang sempurna dalam pelbagai segi. Kadang-kadang lelaki terlalu demand atau mungkin sahaja terlalu mahukan kesempurnaan. Kesempurnaan tidak pernah wujud sama sekali kerana kita cuma manusia biasa yang sememangnya tidak sempurna.

Manusia bernilai kerana maruah. Setiap manusia mempunyai maruah. Selalunya maruah sukar untuk di jual beli. Saya tak pasti kenapa tiba-tiba sahaja saya menyentuh tentang maruah. Mungkin sahaja kerana saya marah, kecewa, dan geram. Perasaan yang bercampur.


2.

Jika lelaki menuntut dirinya di hormati, saya kira perempuan juga menuntut hak yang sama – hak untuk di hormati. Jarang sekali wanita membela maruahnya bila di pijak. Wanita lebih suka akur, tunduk dan menyerah – seperti tiada maruah dan harga diri – seperti tidak bernilai.

Saya tak pasti bagaimana kawan saya mampu menerimanya kembali setelah dia menghilangkan diri hampir 2 tahun dalam suatu ikatan bernama pertunangan. Saya tak pasti bagaimana kawan saya mampu menerimanya kembali setelah menyepi selama itu – tanpa tanya khabar berita, entah hidup entah mati, tiada pesanan. Apa pun tiada.

Tiba-tiba dia di hubungi semula dan mereka bakal berkahwin bulan Ogos ini.


3.

Setiap wanita mempunyai harga diri dan maruah. Setiap wanita mahu di hormati, di kasihi dan di teladani dengan baik. Tanda seorang lelaki yang baik tiada dalam dirinya. Di biarkan terkapai-kapai selama dua tahun, hidup dengan pelbagai soalan, tiba-tiba menghilangkan diri tanpa sebab dan alasan, kemudian muncul semula dan melamar untuk satu ikatan.

Sesuatu yang amat gila.

Di mana letaknya maruah si wanita? Apakah wanita ini langsung tiada maruah dan harga diri? Apakah langsung tidak bernilai di mata lelaki? Tentu sahaja saya beremosi kerana saya mempunyai kakak, adik perempuan dan anak gadis kecil yang sedang membesar. Tentu sahaja saya tidak mahu mereka yang mempunyai ikatan dengan saya diperlaku sedemikian.


4.

Saya tak mungkin bersuara kerana saya hanya kenalan dan orang luar. Jika sebelum mempunyai ikatan sudah pun menunjukkan tanda yang kurang positif, apakah boleh di harapkan bila mempunyai ikatan nanti  segalanya akan berubah? Pastinya tidak.

Harapnya, maruah kawan saya lebih tinggi dari itu. Usah biarkan diri diperkotak-katik. Bila mahu- di hubungi, bila bosan di cari, bila tak suka – pergi jauh dari sisi.


5.

Saya tak pasti kenapa tiba-tiba sahaja saya menulis tentang maruah wanita. Mungkin kerana pesanan Ummi masih melekat dalam diri, masih sayup-sayup terdengar. 


"Sayangi dia, kasihi dia, hormati dia dan letakan dia di tempat yang tinggi kerana dia adalah cerminan diri kamu".

Saya seorang lelaki yang tak malu-malu mengaku bahawa saya meletakan taraf tinggi pada seorang wanita. Pada saya mereka wajar di hormati, di kasihi dan di teladani. Lelaki, jangan bermimpi akan tenang tanpa wanita di sisi.