Untuk orang yang mengidap kanser, perkara yang paling di bencinya ialah menjalani kimoterapi. Kimoterapi tak sakit - yang membuatkan sakit ialah kesan sampingan selepas kimoterapi. Dan sakit itu tak boleh di layan. Kalau layan bertambah sakit.
Semalam teringin nak makan mee rebus tapi sebab gusi sakit dan berdarah tak henti-henti tak dapatlah makan. Makan merupakan salah satu nikmat sama macam tidur. Bila kita tak dapat lagi rasai nikmat barulah kita sedar sebenarnya kita lupa bersyukur atas nikmat-nikmat yang kelihatan kecil tetapi sebenarnya besar.
Dalam doa kita, kita jarang minta nikmat untuk makan dan tidur sebab kita anggap semua orang dapat makan dan tidur. Sebenarnya kita silap. Bukan semua orang dapat rasai nikmat itu. Biasanya bila kita sakit baru kita rasa nikmatnya kalau dapat makan makanan yang kita suka. Kalau dapat makan nasi pun sudah cukup baik. Kalau kena makan guna tiub macam saya, memang tak dapat nak merungut sangat sebab makanan yang sama juga yang kena makan setiap hari.
Mujur saja orang-orang yang masakkan untuk saya kreatif belaka.
Dalam doa seharian kita memang banyak minta dengan Tuhan. Nak jadi kaya-raya, sihat sampai ke tua, dan sebagainya. Apabila ada permintaan khusus yang kita minta dan Tuhan tak tunaikan, kita sedih. Kita lupa Tuhan berikan banyak perkara yang kita tak pernah minta. Kita tak minta udara percuma tapi kita dapat bernafas tanpa perlu membayar walaupun 1 sen.
Orang yang hidup seperti saya memerlukan alat bantuan pernafasan hampir setiap masa. Saya tak boleh bernafas sendiri lagi. Saya merindui saat-saat saya tak perlukan alat bantuan untuk bernafas. Dan bila hampir setiap malam saya sesak nafas, saya tahu nikmat menyedut udara sebenar telah lama hilang. Saya selalu sesak nafas. Tak boleh cakap sangat.
Saya belajar jadi pendengar. Setiap yang di beri ada hikmahnya.
Bercakap nikmat memang tak pernah habis. Cuma kita saja yang lupa dengan banyak nikmat yang kita ada. Sihat tubuh badan, boleh mendengar, bercakap, berjalan, bernafas, makan, semua itu adalah nikmat yang paling besar. Bukan wang ringgit. Semua nikmat itu semakin di tarik dari diri saya. Bila menjalani kimoterapi, lidah tidak lagi berfungsi. Deria rasa saya mati. Semua makanan hampir sama rasanya.
Saya masih mampu melihat walaupun sebelah mata hampir tak mampu lagi. Saya perlu belajar melihat dengan sebelah mata. Membaca dengan satu mata. Di kebanyakkan masa, saya menutup buku kerana saya rasa saya baca terlalu lambat. Saya sedar, sekurang-kurangnya saya masih ada satu mata untuk melihat. Kalau kedua-duanya nanti tak boleh berfungsi lagi, pilihan yang saya ada ialah saya perlu belajar braille.
Saya harap tidak.
Setelah sebelah tangan saya gagal berfungsi dengan baik, saya kini hanya menggunakan satu tangan sahaja. Ya, saya menaip menggunakan satu tangan. Dengan mata yang tidak berfungsi dengan baik - kadang-kala kabur dan kadang-kala pedih - saya meraba mencari huruf. Walaupun menggunakan sistem Qwerty, tapi kerana ingatan semakin kurang baik dan tangan tidak cekap lagi - saya menaip dengan kelajuan yang sangat rendah.
Bila seseorang mengidap kanser otak dan selnya merebak ke bahagian sel lain. Kesannya adalah seperti saya. Bahagian yang paling penting dalam sistem tubuh badan manusia adalah otak. Bila bahagian ini 'rosak' seluruh sistem akan 'lumpuh'.
Kepada mereka yang masih boleh berjalan, memandu, makan, tidur, membaca dan sebagainya - anda masih belum terlewat mengucap syukur atas nikmat yang Tuhan beri. Bukankah itu tandanya dia sayangkan hamba-NYA?