Sunday, January 04, 2026

Hai Ummi,

Sekarang jam 4.54 pagi. Semalam Im berada di Rawang. Enam orang bekas penghuni rumah anak yatim akan memulakan kehidupan baharu. Mereka kini berusia 18 tahun. Im bawa mereka ke bengkel. Mereka akan mula bekerja pada hari Isnin depan. Penginapan disediakan di tingkat atas. Gaji bulanan sebanyak RM2,000. Bengkel ini telah beroperasi hampir enam tahun. Alhamdulillah, masih kekal beroperasi sehingga kini dan harapnya bertahan.  

Puluhan tahun dahulu, Im juga melalui jalan yang sama seperti mereka. Im faham betapa sukarnya berhadapan dengan dunia sebenar. Seperti kata Bill Gates, “Dunia ini tidak adil, biasakan diri.” Benar kata Bill Gates . Dunia tidak adil, dan selalunya tiada siapa yang benar-benar peduli. Apabila melangkah keluar dari rumah Ummi, dunia terasa asing dan menakutkan. Im melalui tekanan hidup yang berat, khususnya ketika menuntut di United Kingdom.

Berbekalkan pengalaman yang ada, Im bangunkan sebuah model pembangunan kerjaya yang berfungsi sebagai pusat transit—tempat persediaan sebelum mereka benar-benar berdikari. Realiti anak yatim yang tinggal bersama ibu/bapa tidak sama dengan penghuni asrama seperti Im yang tidak punya walau seorang saudara. Im tidak punya dahan untuk berpaut. Im bergantung sepenuhnya pada diri sendiri. Mujurlah Ummi banyak membantu..

Im sering merindukan kehidupan di rumah Ummi. Masa berlalu begitu pantas. Sekarang, Im pun sudah semakin tua. Kehidupan di asrama merupakan antara pengalaman paling membahagiakan dalam hidup Im. Andai masa boleh diundur, Im nak belajar masak gulai tempoyak. Im rindu masakan Ummi, tapi Im tidak pandai memasak. Masih terbayang cempedak goreng yang rangup dan sagu gula Melaka yang manis. Kini, semuanya tinggal kenangan….

Anak-anak ini membangkitkan banyak nostalgia. Im seolah-olah terlontar ke masa silam; melihat diri sendiri ketika mula bertatih memulakan kehidupan. Mereka bekerja dan di beri latihan. Sekiranya nanti mendapat peluang melanjutkan pelajaran, itu sesuatu yang lebih baik. Im sentiasa galakkan mereka mengikuti kursus kemahiran dan latihan teknikal. TVET menawarkan banyak peluang untuk mengembangkan potensi diri dan kerjaya. 

Kerajaan menyediakan pelbagai peluang pendidikan TVET melalui GIATMARA, Kolej Komuniti, ILP, KKTM, IKBN, IKM dan ADTEC. Melalui institusi ini, pelajar mengikuti Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3. Laluan seterusnya ialah SKM lanjutan, DKM, DLKM atau kelayakan di bawah MQA sehingga Tahap 5. Di GIATMARA dan Kolej Komuniti, pelajar diberikan elaun. Di ILP pula, pelajar menerima elaun serta makanan tiga kali sehari.

Selain itu, terdapat banyak institusi lain yang jarang diketengahkan dan kurang mendapat perhatian umum. Antaranya ialah Institut Kemahiran Orang Asli (IKOA), Pusat Latihan Pertanian Negeri (PLPN), Institut Kemahiran KEMAS, Institut Latihan Pembangunan Belia Desa (i-Desa), Institut Kemahiran FELCRA, Institut Latihan LKIM (Perikanan), Institut Latihan FAMA dan Kolej RISDA. Banyak kemudahan disediakan. Rugilah jika tidak mengambil peluang.

Ramai memandang rendah kursus-kursus ini tanpa menyedari bahawa kadar kebolehpasaran graduannya tinggi. Kurikulumnya bersifat praktikal, selari dengan keperluan industri, dan lebih dekat dengan realiti pasaran kerja sebenar. Tempoh pengajian juga lebih singkat, dengan yuran yang berpatutan. Im berharap usaha kecil ini menjadi titik permulaan kepada mereka—sebagai bimbingan awal untuk mengenal sepak terajang kehidupan sebenar.

Bye, Ummi. Nanti Im tulis lagi.