Sabtu lepas aku bad mood dan Ara buat kesilapan kecil. Ya, kami bergaduh tentang baju lagi. Kali ini tentang baju yang sudah di basuh dan aku yang naik darah - masih dengan alasan yang sama; Ara ingin membantu tapi dia membuat kesilapan kecil yang tak dapat aku terima.
Aku marah sangat. Aku ambil basikal dan keluar dari rumah. Aku kayuh sejauh 150km. Bila balik, hati aku masih panas mengingatkan sehari sebelumnya dia acuh tak acuh saja bila aku berbual tentang penutupan 450 cawangan 7-Eleven di Amerika Utara ekoran masalah inflasi.
Ketika itu aku di dapur sedang mencuci pinggan. Dia pula baru saja pulang dari kampus. Aku sedang bad mood tapi masih ingin mulakan perbualan. Aku hidangkan teh hijau bersama cookies. Dia ralit melihat telefon. Entah apa yang di sibukkan aku sendiri tak pasti.
Barangkali dia sedang membalas pesanan atau mungkin keletihan. Apa yang aku sampaikan tidak di hadam dengan baik. Lain yang aku sampaikan lain pula yang di tanya. Aku naik berang kerana dia bertanya soalan yang salah. Nampak sangatlah dia tak beri perhatian pada topik perbualan.
Matanya masih tertancap pada skrin telefon. Mungkin isu itu berat dan dia pula penat. Aku naik angin dan tinggalkan dapur begitu saja. Aku tak boleh marah. Setiap kali marah, aku akan ingat perkara lepas. Ini kejadian kali ketiga dia tak beri perhatian ketika aku bercakap.
Kami memang pernah bergaduh tentang ini. Ara pernah marah aku lama dahulu ketika aku sedang sibuk menaip mesej membalas pesanan client yang ingin selesaikan deal. Dia berbual tapi fokus aku pada skrin. Aku respons sekadarnya saja. Dia mengamuk lalu aku simpan telefon.
Itu kejadian kali pertama kami bergaduh dan aku tak ulanginya lagi. Setiap kali aku perlu membalas pesanan pelanggan, aku masuk ke bilik untuk mengelak perbalahan. Aku tak suka bergaduh. Biasanya aku yang akan beralah. Jarang selali aku nak perbesarkan hal kecil.
Kali ini berbeza sebab aku marah tentang dua perkara. Pertamanya tentang baju. Aku mesej dia - 48 perkataan. Dia balas 14 patah perkataan yang di akhiri dengan "Ok". Aku malas nak bertanya lanjut tapi bila dia balik dari kerja, aku tetap minta penjelasan. Dia pula yang naik angin.
Hari ini aku cool sikit. Tengah hari tadi aku hantar makanan ke tempat kerja Ara. Aku siapkan bekal - nasi putih, ayam percik, sup sayur. Pembuka selera, betik. Minuman, teh hijau dalam thermos. Pencuci mulut, cheesecake. Bukan aku yang masak. Aku sediakan bekal saja.
Aku sediakan dua set; lunch box dan minum petang. Minum petang hanya buah potong - mangga muda, nenas, tembikai, jambu dan buah naga. Aku sediakan colek buah dan serbuk cili. Masyarakat di sini makan buah potong bersama serbuk cili. Ada perisa asli, pedas dan masam.
Ara habis mengajar jam 9 malam. Sampai di rumah 35 minit kemudian. Aku hidangkan mi rebus bersama susu. Selesai makan, aku ajak duduk di sofa. Aku ambil besen bersama air suam dan garam bukit untuk dia rendamkan kaki. Selepas 10 minit, aku urut kakinya.
Belum selesai urut, Ara sudah pun terlelap. Aku angkat dia ke tingkat atas. Aku biarkan saja dia tidur. Jam 11:30 malam dia terjaga lalu bangun untuk bersihkan diri. Aku lihat Ara sangat keletihan. Kembar tidur lebih awal - sebelum Ara balik kerja lagi. Penat bermain di mini gym.
Ketika Ara balik, semua urusan berkaitan anak-anak sudah selesai. Rumah pun sudah di kemas bersih. Ara tak perlu lagi buat apa-apa kerja. Semuanya sudah teratur. Aku tak mahu bebankan Ara. Cukuplah dia berpenat-penat di pejabat. Rumah tempat dia beristirehat.
Sebelum tidur, aku sediakan pakaian Ara untuk esok hari. Aku seterika dan letakkan di almari berserta stokin dan tudung. Aku rasa hari ini sangat panjang dan memenatkan. Menjaga 4 anak kecil perlukan tenaga yang banyak. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan baik-baik saja.
Catatan 22 Oktober 2024