Tuesday, October 29, 2024

Siapa yang salah?

Aku bergaduh dengan Ara - masih lagi tentang isu yang sama cuma situasi berbeza. Ara, seperti biasa, walau salah tetap tak mahu mengaku salah. Setiap kali bergaduh, memang aku yang perlu mengalah - sebab aku tak mahu panjangkan perbalahan. Tadi kami bertengkar lagi. Aku naikkan suara, dia pun tak mahu kalah jadi kami berbalah tentang siapa yang salah. Dia marah bila aku tegur dia enggan mengaku bila buat salah.

Kami bergaduh lebih kurang 30 minit. Ara katakan sesuatu yang buat aku terdiam - terluka pun ya. Selepas itu, aku hanya diamkan diri tapi tak bermakna aku mengiyakan setiap tuduhan yang di lemparkan. Aku rasa terbazir masa dan tenaga jika terus berlawan cakap kerana pada akhirnya aku juga yang salah. Kami bergaduh di awal pagi. Aku rasa tak selesa tambahan pula kami sama-sama berpuasa. Tentu syaitan gembira. 

Tak lama selepas itu kami bercakap seperti biasa. Aku keluar hantar Umar dan Adam ke sekolah. Ara ke pejabat setelah aku sampai di rumah. Mujurlah hari ini kembar tak menangis seperti beberapa hari sebelumnya. Perancangan asal, pagi ini nak bawa kembar bermain dengan Jessica sambil camping ala-ala campervan tapi alih-alih Ara bawa jeep ke pejabat. Mungkin dia terlupa walaupun sudah di ingatkan dua hari sebelumnya.

Aku singgah di tempat kerja Ara untuk minta maaf tentang hal pagi tadi. Ara berikan aku kunci jika aku ingin menukar kereta. Katanya dia terlupa aku ingin meredah sub-bandar hari ini. Sampai di parkir, aku buka pintu dan lihat jeep bersepah dengan plastik, botol air dan bekas makanan. Aku pulangkan kunci. Aku tak jadi tukar kereta. Marah pun tidak. Aku sudah jangkakan perkara ini. In marriage, don't expect anything.

Di Costa Rica, aku bawa 6 buah kereta. Ara boleh gunakan semua kenderaan kecuali sebuah kereta yakni kereta peribadi aku. Ara tak bawa kereta ke sini. Kereta peribadinya masih berada di Kuala Lumpur. Semua kenderaan di bawah tanggungjawab aku kecuali kereta Ara. Dia mahu menjaganya sendiri. Kami tak ada pembahagian kenderaan seperti pasangan lain. Seorang lelaki tidak mudah berkongsi kenderaan dengan isterinya. 

Anak-anak bermain dengan riang. Melihat mereka keriangan merupakan satu keindahan. Ada banyak momen penting yang aku terlepas. Ada kalanya aku merasa sedih tak dapat melihat anak membesar di depan mata ketika aku perlu keluar berkerja. Kata C.S. Lewis "Children are not a distraction from more important work. They are the most important work." Dunia kanak-kanak adalah di luar rumah. Mereka suka meneroka alam.

Kembar keletihan. Sampai saja di rumah, usai makan dan mandi, mereka ke katil untuk tidur petang. Aku ambil kesempatan untuk berehat hingga masuk waktu Asar. Jam 5:15 petang, aku terima panggilan daripada Ara - jeep habis minyak. Aku bersiap, ambil tong dan bergerak ke stesen minyak. Aku rasa geram. Sudah di ingatkan berkali-kali tapi tetap tak mahu berubah. Ada banyak perkara yang perlukan toleransi. Ini salah satunya. 

Ara akan mengisi minyak apabila oil warning light sudah memberi amaran. Ketika itu barulah tergesa-gesa mencari stesen minyak. Kalau bernasib baik sempatlah sampai. Biasanya tidak. Aku tiba di lokasi hampir Maghrib. Berbuka hanya dengan sebotol air. Beberapa tahun dulu, aku mempunyai sebuah jeep berenjin diesel tetapi menjualnya semula. Enjin diesel lebih sukar di hidupkan jika minyak sudah kering di tangki.