Friday, May 31, 2024

A life for a life

Kalau ada yang bertanya, punya niat untuk berhenti - jawapannya ada. Niat asalnya sekadar untuk membalas perutusan namun yang terjadi sesuatu di luar jangkaan. Salahnya tidak pada orang lain kecuali diri sendiri kerana membuka ruang. Banyak perempuan yang hadir selepas Ara, tetapi tiada satu pun yang berjaya menggugat hati. Ara satu-satunya yang bertahta - dialah isteri, dialah kekasih, dialah sahabat, dialah. Dialah segala-galanya. Tak ada yang lain.

Setiap saat rasa bersalah ini hadir. Rasa bersalah yang sangat mendalam. Seorang suami harus setia pada isterinya. Tidak boleh membina ikatan lain apatah lagi berharap lebih pada yang bukan hak. Rasa yang hadir sukar di padam, ada kalanya tidak terbendung walau cuba di tahan. Adakalanya, perasaan itu berjaya di simpan rapi - di tutup kemas-kemas di dalam hati. Menduakan Ara, perempuan yang baik budi pekerti, taat dan mendengar kata sungguh zalim rasanya.

Jika di tanya, tidak terdetik di sudut hati mengambil yang kedua sebagai isteri? Jawapannya, ada. Dia isteri orang, berkahwin dengan lelaki yang sangat dia cintai. Setiap kali dia mengungkap kata sayang - "Sayang abang, sayang sangat" setiap kali itulah yang terlintas di balik fikiran "…tapi saya sayang dia lebih". Tentu saya berasa sedih tapi itulah hakikat. Saya mampu berpoligami tapi saya tak mampu jika perlu memilih. Saya tak mahu menjadi luka di hati seorang perempuan.

Berpisah dengannya sembilan tahun lalu, saya telah biasa hidup tanpanya. Saya tahu apa yang akan saya lalui; hari-hari sukar yang penuh dengan air mata. Saya tak pernah berpisah dengan Ara. Saya tak tahu apa yang akan saya lalui dan saya sama sekali tak mahu melaluinya. Saya tak mahu membina bahagia di atas air mata orang lain. Saya tahu sakitnya di khianati. Saya tak mahu orang lain merasai luka yang pernah saya alami. Deritanya sukar di ubati.

Saya tak mahu menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya. Saya tak mahu menjadi punca retaknya sebuah hubungan - tapi saya tidak tahu cara untuk melangkah pergi. Saya tidak punya kekuatan untuk meninggalkan. Saya tahu perasaan ini salah. Tindakan ini juga salah. Segalanya salah. Kata orang, mencintai jangan pernah ada rasa untuk memiliki - tapi saya ingin hidup bersamanya. Saya tahu laluannya tidak mudah. Pasti banyak hati akan terluka. 

"Every decision for something is a decision against something else. A life for a life." 

— Unknown


Mei 1, 2024