Hai Hara!
Abang selamat tiba di bumi Georgia... Kerja berjalan dengan baik. Cuaca juga amat menyenangkan. Sebelum abang terlupa, terima kasih siapkan keperluan abang. Semua suit yang Hara pilih ternyata amat berpadanan dengan acara yang akan abang hadiri. Tentulah abang teruja kerana ini adalah kali pertama Hara siapkan beg pakaian abang.
Maafkan abang atas jadual kerja yang padat. Abang tak dapat luangkan banyak masa bersama Hara dan anak-anak. Abang harap Hara faham. Tugas dan tanggungjawab yang abang pikul selalu memaksa abang bekerja lebih masa di luar negara. Mudah-mudahan Hara dapat sesuaikan diri dan menerima jadual kerja abang seadanya.
Hara sedang buat apa? Abang menyambung bacaan kitab Futuhul Ghaib karya Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. Abang suka kitab karangan beliau - mudah di fahami walaupun kadang-kala abang terpaksa merangkak membacanya. Karya-karya beliau sungguh baik untuk di tekuni. Kitab ini akan selalu bersama abang untuk jangka masa panjang.
Abang rindu Hara, rindu banyak sangat. Abang suka merindu dari jauh. Kata orang, merindu dari jauh lebih intim dan nikmat. Bagi abang pula, merindu dari jauh sesuatu yang manis kerana kita tak sabar-sabar ingin pulang ke pangkuan orang yang kita sayang. Abang rindu Hara sedalam-dalamnya. Jaga diri baik-baik sayang. Rehat secukupnya.
I feel you
in the sunsets I watch
in the road trips I take
in the books I read
in the songs I hear
in the breeze I feel.
I feel you -
in the things
that make me
the happiest.
Tanpa Nama
Lelaki di sudut hatimu,
Abang
Tbilisi, Georgia
31 Januari 2019, 8.30 malam