Monday, November 12, 2018

Pasca PRU 14

Sejak Pakatan Harapan memegang tampuk kuasa usai Pilihan Raya Umum ke 14, iklim ekonomi terutamanya pasaran saham bertambah buruk. Banyak kaunter dibuka rendah dan mengalami penurunan yang bukan sedikit. PRU 14 menjadi sejarah kerana buat pertama kalinya saya tidak menyokong pakatan pembangkang (kini kerajaan) atas beberapa faktor. Nampaknya saya membuat pilihan yang betul. Saya sebenarnya sangat kecewa dengan kerajaan PH pada hari ini. Setiap hari, retorik semakin kuat di palu. Beberapa kementerian yang dipimpin belum menunjukan kredibiliti yang baik untuk mengubah dan membaikpulih sistem sedia ada. Menteri kita lebih suka bercakap berdegar-degar dari membuat kerja.

Keadaan ekonomi nampaknya masih di tahap sama. Kuasa beli pengguna semakin rendah, kadar pengangguran tidak menunjukan angka penurunan. Bercakap soal penurunan, harga dari unit amanah (unit trust) mencatatkan penurunan yang amat ketara sekali antara 6% hingga 25%. Harga saham Telekom Malaysia jatuh merundum menyebabkan beberapa badan seperti Khazanah rugi RM 3.9 billion, KWSP rugi RM 2.5 billion dan ASB rugi kira-kira 1.8 billion. Harga saham paling terjejas majoritinya adalah GLC. Indeks Bursa Saham jatuh sebanyak 200 mata. Harga saham dalam bidang komunikasi merosot dengan teruk sekali. Bukan telekomunikasi sahaja malah hampir ke semua bidang menunjukan penurunan antara 2% hingga 63%.

Bermula pada 14 November lepas, harga minyak dunia terjunam sebanyak 6.6% kepada USD 65.47 se tong. Rentetan kejatuhan demi kejatuhan harga saham dan minyak dunia, adalah sukar untuk kerajaan PH memulihkan ekonomi negara dalam masa terdekat. Desakan pelbagai pihak untuk memenuhi janji manifesto pilihan raya membuatkan usaha untuk mengatur strategi ekonomi negara bertambah sulit. Nampaknya kerajaan baru perlu mencari formula berkesan untuk membendung kejatuhan harga saham yang belum nampak tanda akan pulih dalam masa terdekat. Rakyat terbanyak tidak lagi terbeban dengan cukai GST tapi mereka masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi terutama golongan B40 yang tinggal di bandar.