Tuesday, November 28, 2017

Sanubari

Daddy tak pernah salahkan Uncle A sebab perpisahan Daddy dengan Mama. Uncle A tak bersalah dalam hal ini. Kita tak boleh salahkan dia sebab Mama yang buat keputusan untuk tinggalkan daddy. Mama yang buat pilihan untuk ikut Uncle A. Umar tentu pernah dengar ungkapan tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kalau pun Uncle A ingin berkawan rapat dengan Mama dan Mama menolak kerana masih dalam perhubungan dengan Daddy, semua ini mungkin tak akan terjadi. 

Daddy tak ada dendam dengan Mama. Sebagaimana Daddy ikhlas melepaskan Mama pergi, begitulah harapan Daddy agar Umar berbuat hal yang sama. Daddy dan Mama tak akan mungkin seperti dahulu lagi, tak kiralah betapa kita semua mahukan hal-hal silam berada di masa hadapan. Takdir menulis sebaliknya. Yang terindah buat kita hanya sementara. Begitulah sifat hidup di dunia ini. Tidak ada yang kekal abadi menjadi hak milik kita. Bila tiba waktunya, ia akan pergi meninggalkan kita. 

Wajarlah Umar tahu bahawa segala yang berlaku adalah atas kesalahan dan kesilapan Daddy sendiri. Mama sendiri tak bersalah dalam hal ini. Lelaki, bila gagal melunaskan tanggungjawab, perempuan akan pergi mencari haluan yang lebih baik. Daddy tak mahu Umar membuat kesilapan yang sama. Daddy harap bila Umar dewasa nanti dan punya teman istimewa, jagalah dia sebaiknya kerana perempuan yang kita sayangi, bila dia mula melangkah pergi meninggalkan kita, dia tak akan kembali lagi. 

Ukir pesanan ini erat-erat di hati Umar. Jangan sesekali take for granted apa sahaja yang Umar miliki. Kelak bila segalanya telah terlambat, tak ada kata maaf lagi. Masa tak mungkin dapat di putar. Begitulah halnya dengan masa lepas kita. Seindah mana pun ia, bila berakhir, kita harus akur dengan ketentuan takdir. Kita tak berdaya membuat apa-apa. Tidak akan ada tindakan kita yang mampu melembutkan hati perempuan yang kita sayangi. Sekali dia melangkah pergi, dia tak akan kembali.

Kalau Umar tertanya-tanya, tentu sahaja jawapanya sudah Umar duga. Daddy bahagia, gembira bersama Mama. Dia adalah cinta pertama Daddy. Perempuan pertama yang berada di hati Daddy. Tak akan mungkin Daddy sayang perempuan lain seperti Daddy sayang pada Mama. Tuhan, dengan cara yang tersendiri hadiahkan Aunty Hara buat kita sekeluarga saat hati dan jiwa kita masih galau. Bersama Aunty Hara, Daddy rasa lebih matang dan tenang. Sifat seorang lelaki, jiwa kita sering tidak tenteram. 

Aunty Hara tidak menyamai apa-apa yang ada pada Mama tapi dengan sifatnya yang tersendiri, Daddy semakin yakin untuk serahkan seluruh hidup Daddy bersamanya. Umar tahu, sungguhpun Aunty Hara bukan yang pertama, Daddy kira, perlahan-lahan Daddy semakin hari semakin serasi dengannya. Daddy tak mahu bercakap soal Mama bukan kerana Daddy benci, tapi kerana Daddy tak mahu Aunty Hara berkecil hati. Tentu kita pun alami perasaan yang sama bila orang yang kita sayang selalu bercakap soal masa lepas. 

Kita boleh cuba beberapa kali kembali ke masa silam. Jika cubaan kita gagal, kita perlu tinggalkan dan buka pintu yang lain. Pesan orang bijak pandai “When a door closes, knock on it a few times. But if it still doesn’t open, let it stay closed. In career, in love, in life - when you see the period at the end of the sentences, don’t try and turn it into a comma. Know when something is over and move on”. Mungkin benar kata orang “In the end, we all just want someone that choose us over everyone else under any circumstances”.

Pesanan terakhir daddy, choose people who choose you.