Monday, November 27, 2017

Jarak

Saya seorang lelaki yang suka berjauhan dengan orang yang saya sayang. Saya kira jarak selalu mencipta detik rindu yang manis untuk di rasai setiap hari. Jarak, pada saya bukanlah halangan pada sebuah perhubungan. Saya selalu percaya jarak mendekatkan manusia yang saling berkasih. Cinta yang mekar di hati berputik kerana di bumbui rindu.

Setelah hampir dua minggu meninggalkan Hara atas urusan kerja, hari ini saya mengajaknya menunggang motorsikal ke Lexis Hibiscus Port Dickson. Dalam pemilihan kereta, saya sukakan kelajuan. Berbeza dengan motorsikal, saya lebih sukakan chopper berbanding superbike. Pada saya menunggang chopper lebih santai, relaks dan menenangkan. 

Mungkin kerana faktor usia yang semakin meningkat, adrenaline dalam badan semakin berkurangan. Minat terhadap superbike semakin luntur. Bertemu Hara, gadis yang sukakan chopper sungguh menghidupkan perasaan. Saya seperti di tarik-tarik untuk menunggang chopper. Dan Hara seperti biasa kelihatan cantik mengenakan pakaian apa pun. Hara sentiasa menawan di mata saya.

Kami menunggang secara santai menggunakan laluan belakang. Sengaja tidak memilih lebuh raya; mungkin kerana mahukan udara bersih dan tunggangan yang lebih relaks. Hari ini saya membelah awan bersama Hara; menikmati udara dan harum minyak wanginya yang sungguh menyegarkan jiwa. Saya selalu merindu harum wangiannya. 

Tidak ada sebarang tujuan saya mengajak Hara ke Lexis Hibiscus selain untuk minum pagi sambil berbual kosong. Saya rindu menatap matanya yang ayu, mendengar suaranya yang merdu, menikmati haruman wangian yang mendebarkan. Saya selalu mahu berada dekat denganya. Saya selalu mahu bersama dia. Dialah yang mententeramkan resah jiwa saya.

Selesai sarapan pagi, saya mengajak Hara pulang menaiki train. Saya mahu berlama-lama bersama Hara menikmati keindahan alam. Saya ambil keputusan telefon tow truck, minta hantarkan chopper kami berdua ke kediaman masing-masing. Hal ini mudah sahaja di uruskan kerana motosikal saya mempunyai insurans untuk towing. Selesai sahaja urusan penghantar chopper kami bergerak ke kaunter tiket. 

Saya keluarkan buku sudoku sedang Hara ralit membaca novel penulis Perancis terkenal. Di antara kerdipan mata, saya mencuri memandangnya tanpa jemu. Mencuri pandangan melihat gadis pujaan adalah perasaan yang paling menakjubkan buat seorang lelaki. Saya melihat diri saya yang ada padanya. Dia seperti sebuah cermin buat saya.

Mujur saja dia masih belum milik saya sepenuhnya kerana saya ingin sekali merangkulnya dengan erat seperti pasangan yang sedang enak di buai perasan. Berjauhan selalu mendekatkan manusia, putik rindu dalam jarak yang jauh jarang sekali mengecewakan. Berada di samping Hara, masa terlalu mencemburui kami sedang rindu tak pernah jemu bertandang.


Rindu tak di ciptakan 
oleh jarak, namun oleh perasaan.
Kamu merindukan bukan karena ia jauh, 
namun karena
ia telah ada, di dalam kamu. 


— Kharisma P Lanang