Monday, August 21, 2017

Manga

Peristiwa ini telah lama berlaku tapi saya masih ingat. Kira-kira jam 10 pagi, saya terima panggilan dari sebuah syarikat buku. Menurutnya, tempahan set lengkap komik yang di buat dua minggu lepas sudah ada. Mereka menyebutnya sebagai Manga dan saya pula tanpa berfikir panjang terus saja mengatakan bahawa tidak ada seorang pun dalam kalangan keluarga saya pembaca majalah Mangga. Rupanya saya silap kerana terlalu cepat buruk sangka. Sebut sahaja Manga, otak ligat berfikir pada majalah artis yang bersepah tergantung di kedai buku. Rupanya yang mereka maksudkan adalah komik Jepun. Saya beroleh pengajaran pada hari itu supaya tidak terlalu cepat melatah dan mudah buruk sangka pada suatu perkara. Benarlah pesanan dalam surah Al-Hujarat ayat 12 supaya kita menjauhi prasangka kerana ia mendatangkan dosa.

Pihak kedai berikan alamat dan saya ke sana mengambil pesanan yang di buat oleh anak saya, Adam. Saat saya melihat komik yang tersedia di atas meja, hati saya begitu sebak, mata saya berkaca. Anak saya sudah berusia 6 tahun dan saya tak tahu dia penggemar komik. Saya malah tak pernah tahu dia membaca komik. Saya cuma tahu dia penggemar filem bertemakan cinta dan dia amat suka menonton slot drama cinta TV3. Saya juga tahu dia suka lagu Hindi dari filem-flem cinta era Bobby. Dia suka menonton tv sambil makan dark chocolate atau minum koko panas. Agaknya, itu sahaja yang saya tahu tentang dia. Tiba-tiba terdetik di hati saya apakah selama ini saya tidak begitu prihatin akan dirinya? Apakah saya bersikap berat sebelah dalam memberi kasih sayang?

Balik sahaja dari kedai komik, saya terus naik ke bilik Adam. Bilik dia tidak sekemas bilik Umar tapi masih bersih cuma tidak begitu teratur. Saya selongkar buku-buku di atas meja, kertas-kertas di dalam laci. Saya menemui begitu banyak lukisan komik. Saya tak pernah tahu Adam pandai melukis komik. Saya tak pernah tahu setiap kali dia tekun tunduk ke bawah rupanya dia melukis. Saya sangkakan dia melihat video kerana Adam amat suka mengambil gambar dan merakam video. Beratus gambar di ambilnya. Dia, menurut Huda adalah photographer tidak rasmi keluarga kami. Lama saya berada di dalam bilik Adam menikmati hasil lukisan komiknya satu persatu. Dia melukis tentang perkara di sekelilingnya - pergaduhan kecil, perbualan santai dan hal-hal lain yang menarik hatinya. 

Saya kumpul semua lukisan dan bawa turun ke ruang tamu, menikmatinya bersama pembantu rumah; Dianti, Bik Arni, Che Nam, Jo dan Don. Mereka kata lukisannya cantik dan dia begitu pandai menyimpan rahsia, begitu pandai menyorokkan bakat istimewanya. Ada beberapa lukisan berkisah tentang pembantu-pembantu rumah dan lukisan yang paling banyak ialah tentang “Daddy” dalam siri lukisan “Adam & Daddy”. Saya minta Jo masak hidangan istimewa untuk meraikan Adam. Diantri dan Che Nam pula saya minta mereka hiasi ruang rumah untuk sambutan santai pada malam itu. Tentu sahaja Adam terkejut apabila di rai. Saya mahu dia gembira, berasa di sayangi dan di kelilingi dengan kebahagiaan yang berpanjangan. Saya berharap agar dia membesar dengan penuh keriangan dan menghargai setiap detik dalam kehidupan ini.