Lewat beberapa tahun kebelakangan ini hidup abang di penuhi kesedihan, kemurungan dan tekanan perasaan. Kesedihan yang di rasakan tidak berpenghujung amat membebankan hati. Kata William Shakespeare, “When sorrows come, they come not single spies, but in battalions”. Kehilangan cinta selalu buat kita terseksa. Abang tak pernah bertanya Hara tentang kisah cinta Hara yang lepas, sebuah perjalanan panjang yang terhenti di tengah jalan. Abang cuma di maklumkan bekas tunang Hara putuskan pertunangan kerana ingin berkahwin dengan wanita lain. Abang tak mahu menjadi garam pada luka yang pedih maka abang tak pernah bertanya, tak mahu membuka memori silam yang mendukakan.
Tak semua percintaan berakhir di gerbang perkahwinan dan tak semua perkahwinan berakhir dengan kebahagiaan. Kata Jimi Hendrix, “The story of life is quicker than the wink of an eye. The story of love is hello and goodbye”. Abang secara tulus dan jujurnya telah melepaskan masa silam. Abang masih rasa bersalah pada Hara tentang kejadian minggu lepas. Penyesalan di hati abang masih menebal. Abang rasa sangat malu pada Hara. Maafkan abang sekali lagi kerana melukakan Hara. Terima kasih kerana masih sudi berikan abang peluang dan ruang untuk menumpang kasih di hati Hara. Sungguh abang bersyukur. Tak terlafaz dengan kata-kata. Abang tak mahu kehilangan Hara. Terima kasih kerana tidak menambah sebal di hati abang.
Abang selalu cuba bawa peta cinta kita ke arah kutub yang abang inginkan. Abang malah terlupa sifat kompas bukanlah kita yang menentukan jarumnya. Abang selalu rasa cinta kita tidak lengkap, seperti ada sesuatu yang tertinggal, tempang dan tidak sempurna. Abang mungkin sahaja mahukan seperti cinta dahulu, sama seperti perasaan yang lepas-lepas. Abang terlupa cinta ada pelbagai warna. Sifat cinta penuh warna-warni. Kitalah yang mewarnakannya. Sifat cinta kita tidak punya lautan api untuk di renangi, gunung-ganang untuk di daki malah tak punya lafaz sumpah taat setia hingga mati. Bercinta dengan Hara sangat dewasa sifatnya, seperti cinta orang berusia - perlahan tapi penuh makna. Setiap detik mendamaikan jiwa. Sungguh manis tak terkata.
Bartolomeu Dias amat bersyukur menjumpai Cape of Good Hope setelah di lambung ribut taufan berhari di tengah lautan. Begitulah abang bersyukur di temukan dengan Hara setelah bergelut dalam belantara kesedihan yang amat panjang. Bertemu dengan Hara adalah anugerah terindah buat abang. Hara membawa sebuah pengharapan. Pengharapan yang tak mampu abang zahirkan. Bersama Hara abang mahu menjadi lelaki lebih berbudi, berilmu tinggi. Hara amat mempersonakan abang. Perbualan kita walaupun ringkas sangat menjernihkan hati nurani abang. Abang masih ingat Hara perkenalkan abang dengan The Distinguished Jurist's Primer (Ibn Rushd), dan abang pula memperkenalkan Hara dengan halusnya Gulistan (Saadi Shirazi).
Cinta yang bertaut ini bukan sekadar cinta, ia lebih dari itu. Sifat cinta yang memberahikan pada nafsu tumpah pada berahinya kita pada buku dan ilmu. Sifat cinta yang apinya panas membara tertuang dalam berbualan kita tentang agungnya keajaiban yang telah Tuhan ciptakan buat kita. Kita mengali A Brief History of Time (Stephen Hawking), meneroka Major Themes of the Qur'an (Fazlur Rahman). Kita cuba memahami falsafah Noam Chomsky. Kita cuba memahami keinginan Al-Attas dalam mengislamkan ilmu melalui buku-bukunya yang sangat hebat. Hara, cinta yang kita genggam ini menuntun kita mengenali ilmu dengan lebih mendalam, memperhalus budi pekerti kita. Cinta ini sangat mendewasakan abang.
Buat seorang lelaki terdapat tiga perkara yang membanggakannya; pertama, kerjayanya, kedua; kereta yang dia milikinya dan ketiga; wanita yang dia dampinginya. Hara adalah kekaguman abang pada seorang wanita. Hara adalah kebanggaan abang. Hara adalah maruah abang. Betapa abang kagum memiliki seorang wanita yang luas pengetahuannya, elok paras rupanya, halus budi pekertinya, seindah namanya - Nurhara. Tuhan ciptakan seorang wanita yang amat sempurna buat abang. Hara menyempurnakan hari-hari abang yang suram. Hara mewarnai hidup abang dengan senyuman. Ketawa kecil kita selalu menuntun abang ke arah kebahagiaan. Betapa bertuahnya abang memiliki dirimu sayang.
No one has studied the lines of my hand
Without discovering the four letters of your name
Everything can be denied
But the scent of a woman that we love
Everything can be hidden
But the steps of a woman moving inside of us.
— Nizar Qabbani
Cape of Good Hope, South Africa
19 Julai 2017, 11.25 pagi