Hari ini pertama kali kita bertentang mata setelah sekian lama merahsiakan deru rasa yang tumbuh perlahan-lahan antara kita. Buat diri abang, malam ini adalah malam penuh kebahagiaan. Tanpa ragu-ragu abang katakan malam ini adalah malam paling sempurna dalam hidup abang. Setelah sekian lama abang hilang arah, Hara datang sebagai petunjuk jalan. Terima kasih kerana menyinari hidup abang. Hara datang membawa sebuah pengharapan yang sekian lama abang nantikan. Hadirnya Hara dalam hidup abang membuatkan awan-awan mendung perlahan-lahan membawa diri.
Hari ini hidup abang di penuhi sinar mentari. Teriknya tidak begitu membahang, nyaman dan menyegarkan. Semuanya kerana Hara. Sekali-sekala hujan turun dan abang bayangkan kita akan mengira warna pelangi bersama-sama setelah berpayung berdua mengelak hujan membasahi kita. Abang rasakan dunia begitu indah sekali. Hara perlu tahu, Hara adalah anugerah terindah yang Tuhan ciptakan buat abang. Setelah bertahun menderita, Tuhan hadiahkan abang seorang perempuan persis bidadari. Molek segala, serba sempurna.
Hara tahu, debar dan gementarnya abang menunggu Hara di muka pintu semalam hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saat melihat Hara, abang rasa tenang, tenteram. Abang agaknya masih belum percaya bahawa perempuan secantik bidadari ini bakal menjadi suri hati abang tidak lama lagi. Kita berjalan beriringan ke kereta, berbual sepatah dua. Abang tahu kita sebenarnya masih malu dan gugup. Pertemuan pertama selalu membuat kita rasa begitu. Pertemuan pertama yang manis, yang menjadikan abang lelaki paling bahagia. Sungguh, abang merasa bahagia dipertemukan dengan Hara.
Abang tak pandai menyusun kata. Abang hanya lelaki biasa yang penuh cinta di dada. Pengalaman barangkali banyak mengajar abang agar lebih menghargai. Abang mahu menjadi dewasa dengan cinta, mematangkan diri dengan rasa. Abang mahu membina sebuah keluarga bersama Hara. Kita akan membina mimpi-mimpi kecil bersama. Kita akan mengapai impian bersama-sama. Abang mahu seluruh hidup abang bersama Hara. Tanpa ragu-ragu, Hara adalah sebahagian dari hidup abang pada hari ini dan kekal menjadi sebahagian dari jiwa abang selama-lamanya.
Pilih pulut bercampur padi,
Selasih ada di tepi telaga,
Bagaimana di mulut begitulah di hati,
Kasihku tidak dua tiga.
Kuala Lumpur International Airport
2.15 pagi