Semalam ke Kinokuniya dan H sudah sampai lebih awal, seperti biasa. Ketika saya melangkah masuk, saya lihat dia sedang membelek buku di ruangan kesukaan saya; ketenteraan. Berkerut juga dahi saya melihat seorang gadis berada di rak ini. Jarang ada perempuan sukakan buku berkaitan peperangan dan ketenteraan. Saya hanya melihat dia dari jauh. Masih tidak punya kekuatan, pun mungkin masih berteka-teki dengan hati sendiri. Usai membeli, dia melangkah keluar dengan 2 beg pembelian di tangan. Banyak benar dia membeli hari ini sedang saya hanya beli 5 buah buku sahaja. Kesemuanya merupakan buku puisi.
Selepas ambil Huda dari sekolah, saya balik ke rumah dan berehat. Malamnya ada jemputan berbuka puasa. Saya keluar dari rumah jam 6.30 petang. Sampai di majlis kira-kira jam 7.15 malam. Saya duduk semeja bersama Tengku Sofea, seorang jurutera muda dalam bidang kejuteraan petroleum. Tidak ketinggalan Syafiqah Effendy yang jelita bergaya dengan busana kontemporarinya. Berhadapan meja saya adalah meja H. Malam ini, dia seperti biasa tetap nampak menawan dengan busana tradisional serba sederhana. Dia duduk semeja bersama beberapa orang CEO dari pelbagai latar - automotive, construction dan oil and gas.
Saya berbual-bual kosong dengan Syafiqah Effendy yang baru sahaja mengambil alih perniagaan ayahnya. Katanya, proses peralihan kuasa baru sahaja berlangsung dua bulan lepas. Dia di minta menggalas tanggungjawab sebagai CEO selepas perniagaan ayahnya merosot teruk daripada 76 cawangan, 20 cawangan telah di tutup kerana ekonomi yang semakin gawat. Daripada 56 cawangan yang masih berbaki, hampir suku daripanya bergelut dengan masalah kewangan dan lambakan stok. Syafiqah sedang merangka pelan strategi terbaik untuk menyelamatkan syarikat ayahnya dari terus mengalami kerugian.
Usai berbual ringkas bersama Syafiqah, saya terserempak dengan beberapa orang besar dalam industri. Saya hanya berbual ringkas kerana mengejar waktu solat maghrib. Ketika saya meninggalkan meja, masih ramai yang menjamah makanan. Suasana ketika itu tenang. Majlis berbuka biasanya teratur cuma makanan yang di sajikan kadang-kala tidak begitu menyelerakan. Secara peribadi, saya lebih suka berbuka di rumah bersama keluarga berbanding rakan industri. Berbuka puasa bersama keluarga suasananya lebih intim dan paling penting kegembiraan dan tali persaudaraan yang di hulurkan tidak di buat-buat.
Setelah tinggalkan majlis jam 8.30 malam, saya bergerak ke masjid untuk solat terawih. Selesai solat terawih, saya termenung lama di masjid. Saya memikirkan hati yang gelisah dan tidak tenang, keputusan yang masih menemui jalan buntu. Saya agaknya masih takut untuk mendekati H. Saya masih takut kalau-kalau saya berubah hati dan ingin kembali ke masa lalu. Saya tak mahu merapatinya sekadar untuk melupakan masa silam yang pedih. Saya tak mahu memulakan perjalanan baru hanya kerana saya berasa kesunyiaan. Saya perlu yakin memilih jalan baru supaya dia tidak teraniaya di masa hadapan.
Sejak hari Isnin hinggalah malam tadi, tidur saya benar-benar terganggu seolah-olah saya harus membuat keputusan saat itu juga sedang hati dan minda saya masih bertelagah, masih belum punya kata putus, masih saling meningkah. Minggu depan adalah minggu terakhir puasa seterusnya hari raya. Raya ke empat, saya akan bertolak ke Lombok, Indonesia. Adik saya, Aladin akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis Cina yang berasal dari Jakarta tetapi memilih untuk melangsungkan majlis resepsi di Lombok. Saya akan berada di Lombok sekurang-kurangnya 4 hari untuk meraikan hari bahagia mereka.
Dari Lombok, saya dan ahli keluarga yang lain akan bergerak ke Pulau Palawan, Filipina untuk meraikan hari keluarga bagi menggantikan hari raya yang tidak di sambut pada tahun ini. Berada di Pulau Palawan selama empat hari sebelum masing-masing bergerak pulang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya pula akan bawa anak-anak pergi bercuti sempena cuti semesta bermula pada 23 Jun 2017. Anak-anak akan bercuti selama sebulan setengah. Dalam tempoh itu, saya akan berada di luar negara dan sudah tentu saya tidak mendapat apa-apa berita mengenai H. Tentu saja nanti saya rindu melihatnya di antara deretan dan rak buku, pasti rindu.
Sekiranya saya mahukan H, sekurang-kurangnya saya perlu benar-benar yakin bahawa seluruh hati, jiwa, roh dan nurani saya mahukan dia - sebulat hati tanpa ada sebarang penyaringan, percanggahan mahu pun pertelingkahan antara lahiriah dan batiniah. Saya perlu pastikan seluruh jasad sudah bersedia untuk mulakan perjalanan baru ini. Saya akan menjalani kehidupan baru, bersama orang baru, membina impian dan harapan serta menyusun mimpi dan angan yang baru. Saya akan meninggalkan seluruh masa silam dan memulakaan langkah pertama seperti kata orang berpengalaman “Every story has an ending but in life, every ending is a new beginning”.